comscore
Tumpuan :
Nasional

RM450,000 untuk dimenangi dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM 2023)

MPI bersama penaja pada majlis meraikan para penyumbang Malam Wartawan Malaysia MPI 2024 hari ini. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Seramai 488 pengamal media bertanding untuk merebut Hadiah Kewartawanan Malaysia 2023 (HKM) pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) anjuran Malaysian Press Institute (MPI) yang bakal berlangsung pada 7 Jun 2024.

Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, pertandingan HKM 2023 mencatatkan penyertaan tertinggi diterima oleh MPI sejak HKM diperkenalkan pada tahun 1980.

“Tahun ini memperlihatkan unjuran kenaikan 21 peratus atau 488 penyertaan berbanding 386 yang diterima tahun sebelumnya,” katanya.

Yong berkata, penyertaan tertinggi diterima daripada kategori Berita Video Terbaik dengan 65 penyertaan, diikuti Kewartawanan Foto Terbaik (44) dan Laporan Berita Terbaik (37).

Peningkatan jumlah sumbangan yang diterima oleh MPI tahun ini memberikan maksud jelas bahawa peranan wartawan dalam menghasilkan laporan berkualiti tinggi dan bertanggungjawab mendapat sokongan daripada pelbagai pihak,” katanya dalam ucapan beliau ketika majlis apresiasi penyumbang MWM, disini, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu diperkukuhkan lagi apabila penaja utama HKM sejak 1994, Petronas bersetuju memperbaharui kontrak penajaan HKM untuk tempoh tiga tahun lagi, selain meningkatkan jumlah penajaan tahunan kepada RM450,000 berbanding RM300,000 sebelum ini.

MPI menerima sumbangan berjumlah RM1,066,500 daripada pelbagai pihak, termasuk Petronas bagi penganjuran majlis Malam Wartawan Malaysia (MWM) dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) kali ini.

Setakat ini, sebanyak 52 organisasi korporat, agensi kerajaan, kerajaan negeri, organisasi media dan institusi pengajian tinggi telah menyumbang bagi menjayakan MWM 2024 dan majlis pada hari ini bertujuan meraikan para penyumbang selain sebagai penghargaan atas sokongan berterusan mereka kepada MWM, satu-satunya acara tahunan berprestij MPI.

Antara penyumbang tajaan MWM hari ini termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyumbang RM150,000.00, Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank), Grab Malaysia, PUSPAKOM Sdn Bhd dan Sarawak Energy Berhad yang masing-masing menyumbang RM20,000.

Selain itu, 22 organisasi korporat masing-masing menyumbang tajaan berjumlah RM10,000 antaranya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Ambank Group, UEM Sunrise Bhd, Padi Beras Nasional Bhd, Lembaga Tabung Haji, PLUS Malaysia Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd.

MPI turut menerima sumbangan masing-masing berjumlah RM 7,500 antaranya daripada Top Glove Corporation Bhd, Prasarana Malaysia Bhd, Malakoff Corporation Bhd, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd, IOI Properties Group Bhd dan enam lagi syarikat korporat lain.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Mustapa Omar, Timbalan Presiden Farrah Naz Karim, Naib Presiden Brian Martin serta Ahli Majlis Pentadbir iaitu Zamri Rambli, Choo Joon Kian dan Dr Diana Dominic.

Seramai 900 tetamu dijangka hadir pada MWM 2024.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Mustapa Omar berkata, peningkatan penyertaan itu didorong oleh pengenalan enam kategori baharu iaitu Kewartawanan ESG Terbaik, Bicarawara Video Terbaik, Lintas Langsung Berita Video Terbaik, Dokumentari Radio Terbaik, Bicarawara Radio Terbaik dan Lintas Langsung Berita Radio Terbaik.

Menurut beliau, sebanyak 55 organisasi media daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah mengemukakan penyertaan masing-masing dalam 23 kategori anugerah yang dipertandingkan.

Majlis penyampaian anugerah pada Malam Wartawan Malaysia bakal diadakan pada 7 Jun 2024 bertempat di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini