comscore
Tumpuan :
Nasional

RM6.3 juta dibelanjakan untuk Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI di tiga negeri

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua kanan) ketika hadir pada Majlis Rumah Terbuka Madani di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UNiSZA, pada 13 Mei lalu. -FOTO: Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI dikendalikan Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) hanya membabitkan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rumah terbuka di Kedah adalah program peringkat kebangsaan dan ia turut membabitkan jemaah menteri, perwakilan asing serta Ketua Jabatan kerajaan.

Beliau berkata, dari segi kos keseluruhan, sebanyak RM6.3 juta sudah dibelanjakan bagi mengadakan rumah terbuka di tiga negeri itu.

Katanya, Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Kedah mencatatkan jumlah kos tertinggi RM3.1 juta manakala Kelantan dan Terengganu masing-masing RM1.5 juta.

“Jumlah perbelanjaan ini meliputi semua perkara seperti persiapan tempat, logistik dan perbelanjaan jamuan kepada orang ramai.

“Jumlah kehadiran untuk program di Kedah adalah seramai 25,000 orang manakala di Kelantan dan Terengganu seramai 15,000 orang pengunjung di setiap negeri,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanyakan jumlah perbelanjaan keseluruhan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Armizan berkata, berbanding penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri tahun lalu yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya, ia menelan belanja sebanyak RM11 juta dengan kehadiran seramai 70,000 orang.

Beliau berkata, penganjuran pada kali ini juga mendapat kerjasama kementerian dan jabatan persekutuan termasuk kerajaan negeri yang membolehkan kosnya dapat dikurangkan terutama dari segi sumber manusia serta keperluan logistik lain.

Loading...
Terkini