comscore
Tumpuan :
Nasional

RM69 juta diperuntuk selenggara, baik pulih RKAT TUDM seluruh negara

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. FOTO: FAIL

SHAH ALAM: Kementerian Pertahanan memperuntukkan RM69 juta bagi menyelenggara dan membaik pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di semua kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia adalah daripada keseluruhan RM400 juta yang diperuntukkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Belanjawan 2024.

“Kita memberi perhatian sangat serius kerana kita percaya bahawa ia boleh membantu kesejahteraan kehidupan anggota.

“Kita tahu dengan adanya rumah yang sempurna, maka anggota bukan sahaja boleh membina keluarga bahagia tapi dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Tak perlu nak memikirkan keadaan keselamatan keluarganya apabila mereka bertugas.

“Atas keprihatinan itu, kerajaan merasakan sudah sampai masanya rumah RKAT ini dinaik taraf dan diselenggarakan,” katanya selepas melawat RKAT di TUDM Subang di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahary; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, sebanyak 65 unit RKAT di TUDM Subang sudah diselenggara dan dibaik pulih membabitkan kos penyelenggaraan berjumlah RM7 juta.

Katanya, sebanyak 120 unit kediaman lagi akan dibaik pulih secara berperingkat dan ia dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya pada tahun ini.

Pada tahun ini juga, beliau berkata, penyelenggaraan turut akan dilaksanakan di semua RKAT milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) seluruh negara.

“Kita bernasib baik kerana ia (peruntukan) disalurkan awal. Jadi saya percaya penyelenggaraan dapat disempurnakan mengikut jadual pada tahun ini juga mengikut peruntukan RM400 juta yang disalurkan,” katanya.

Dalam pada itu,Datuk Seri  Mohamed Khaled turut meluangkan masa menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga TUDM di Masjid Al-Muhajirin Pangkalan Udara Subang, di sini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 20 orang penerima terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini