KUALA LUMPUR: Agensi kerajaan perlu menyemak semula projek yang tidak memberi kesan kepada ekonomi negara.
Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) berkata, sekiranya projek yang diluluskan sebelum ini tidak boleh memanfaatkan ekonomi negara, kerajaan perlu menggantinya dengan projek yang mempunyai kesan berganda.
Bekas Menteri Kewangan II itu berkata, strategi itu boleh dipertimbang untuk mengembalikan semula ekonomi Malaysia ke hadapan selepas beberapa tahun tertinggal di belakang.
“Mengikut rekod Kementerian Kewangan, sejumlah RM43.9 bilion telah dibelanjakan setakat Jun lalu. Kita bajet (untuk dibelanjakan sebanyak) RM85 bilion dan sudah tidak ada masa. Jadi, kita kena gunakan segala bajet yang kita telah lulus ini untuk pastikan perjalanan ekonomi ini, menjadi pemangkin kepada kerajaan dan swasta pada masa akan datang.
“Mana-mana pelaksanaan bajet yang diluluskan mestilah dilaksanakan secepat mungkin. Bayaran mestilah dibuat secara cekap dan pantas. Di samping itu, setiap peruntukan yang diluluskan mesitlah diguna-pakai secara efisien dan cepat.
“Sekiranya projek yang diluluskan sebelum ini tidak boleh memanfaatkan ekonomi, maka perlu disemak semula dan kita perlu cari projek ini supaya ia boleh memberi kesan berganda kepada ekonomi negara. Daripada situ, maka perbelanjaan swasta akan bersambung,” katanya.
Menurut beliau, ia penting kerana agensi kerajaan hanya mempunyai masa dua setengah tahun lagi untuk melaksanakannya mengikut RMK12.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu katanya, Kementerian Kewangan mesti memantau rapat syarikat yang culas membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), supaya kutipan cukai boleh dipungut dengan lebih cekap dan boleh dipulangkan semula untuk manfaat rakyat.
Mengulas lanjut apa yang perlu dilakukan kerajaan dalam landskap ekonomi tidak menentu ketika ini, Johari mencadangkan supaya mana-mana syarikat yang memperoleh projek dipantau dan memastikan tidak terlepas daripada membayar cukai kepada LHDN.
Jelasnya, langkah itu penting kerana dapat membantu meningkatkan kewangan negara sekali gus boleh digunakan untuk membantu rakyat.
“Kita juga kena pastikan mana-mana syarikat yang mendapat projek ini, segala rantaian syarikat-syarikat ini mestilah dipantau. Mereka ini perlulah membayar cukai kepada LHDN supaya LHDN boleh dapat pendapatan.
“Ia kemudiannya boleh disalurkan balik kepada kerajaan dan persekitaran ekonomi ini akan berpusing. Akhirnya, akan membawa balik negara kepada landasan yang betul,” katanya.