comscore
Tumpuan :
Nasional

Rodzi Md Saad dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Digital

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Rodzi Md Saad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Digital.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan itu berkuat kuasa Jumaat ini (12 Januari).

“Semoga dengan pelantikan Rodzi dapat memacu pembangunan teknologi digital negara bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan digital yang holistik, inklusif dan lestari selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi, 60, berkelulusan Sarjana dalam bidang Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi dari Universiti Teknologi MARA dan Ijazah Sarjana Muda Demografi dan Kajian Kependudukan (Kepujian) dari Universiti Malaya.

Beliau telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 34 tahun serta berpengalaman luas dalam pengurusan dan pentadbiran keselamatan negara meliputi pelbagai aspek termasuk sempadan, maritim serta keselamatan siber serta pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara.

Pada rombakan Kabinet Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penstrukturan semula Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipecahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Kementerian Digital diterajui bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Loading...
Terkini