comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Rogol bergilir-gilir, polis cari Muhammad Nuraffiq 

KUALA LUMPUR: Siasatan kes rogol berkumpulan ke atas seorang wanita yang berlaku di sebuah rumah di Wangsa Maju dekat sini, semalam, polis kini sedang mengesan seorang lelaki.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, lelaki itu Muhammad Nuraffiq Jaafar, berusia 29 tahun dan beralamat di PPR Laksamana, Cochrane 2, Jalan Peel, Kuala Lumpur.

“Kita sedang mengesan lelaki terbabit yang dipercayai dapat membantu siasatan kes ini.

“Justeru kita minta mohon kerjasama orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat tentang keberadaan lelaki ini untuk tampil membantu siasatan polis,” katanya.

Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Siti Fadzilah Ahmad Fisal di talian 017-6240252.

Mengulas mengenai siasatan kes itu, Allaudeen berkata pihak polis sudah mengenal pasti suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu dan usaha mengesan sedang dijalankan.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada awal pagi, semalam yang mana kira-kira lima lelaki masuk ke rumah mangsa yang berusia 20-an dan merogolnya.

“Polis sudah menjalankan siasatan di tempat kejadian dengan bantuan pasukan forensik dan mangsa sudah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan oleh pegawai perubatan,” katanya.

Artikel berkaitan: Wanita sedang tidur diperkosa 5 rakan abang ipar, rakam perbuatan

Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengesan lima lelaki termasuk abang ipar seorang wanita yang menjadi mangsa rogol berkumpulan dalam kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun sedang tidur sebelum tersedar apabila mulutnya ditutup dengan tangan oleh seorang suspek.

Tangan mangsa kemudian diikat dan mulut mangsa dilekatkan dengan pita pelekat sebelum dirogol bergilir-gilir dan perbuatan terkutuk itu turut dirakam suspek.

Selepas memperkosa mangsa, kesemua suspek melarikan diri.

Mangsa cedera dan lebam pada tangan akibat kejadian itu.

Mangsa yang juga seorang pekerja swasta kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini