comscore
Tumpuan :
Nasional

Rohana sudah pulangkan wang AS$10 juta, aset 1MDB

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan. – FOTO: NSTP

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan sudah memulangkan wang AS$10 juta (RM44.26 juta) dan aset dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber memberitahu, semua wang termasuk aset itu dipulangkan kepada kerajaan tahun lalu iaitu selepas siasatan SPRM selesai.

Bagaimanapun, sumber itu memaklumkan tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai cara dan prosedur pemulangan wang berkenaan.

 

“Beliau (Rohana) sudah pulangkan semua wang dan aset yang berkenaan kepada SPRM yang kemudian disalurkan kepada kerajaan,” katanya.

Pejabat Peguam Negara (AGC) dilaporkan media semalam, tidak mengetahui sama ada Rohana sudah mengembalikan wang dan aset itu.

Tahun lalu, Rohana  bersetuju untuk menyerahkan semula AS$10 juta yang diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc Tim Leissner kepadanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, Pejabat Peguam Negara tiada pengetahuan mengenai perkara ini.

Beliau berkata demikian melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah Rohana sudah mengembalikan wang AS$10 juta kepada kerajaan.

Sebelum ini, Leissner memberitahu Mahkamah New York bahawa beliau memberikan Rohana AS$10 juta yang mana bekas pegawai tertinggi Astro itu membeli sebuah rumah bernilai AS$7 juta (RM30.98 juta) di Montpelier Street, London.

Leissner ialah saksi utama pendakwaan bagi perbicaraan bekas rakan sekerjanya di Goldman Sachs, Roger Ng yang didakwa membantu menyeleweng dana kekayaan 1MDB milik Malaysia ketika skim itu wujud dari 2009 hingga 2014. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini