comscore
Tumpuan :
Nasional

Rokok punya pasal, sampai sanggup bakar rumah

Sebuah rumah dua tingkat musnah selepas dibakar suspek yang juga penagih dadah dalam kejadian di Pokok Sena, Kepala Batas. Foto : NSTP

KEPALA BATAS: Seorang penagih dadah membakar rumah pusaka dua tingkat yang didiami bersama ahli keluarganya hanya kerana tidak diberikan rokok dalam kejadian di Pokok Sena, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, suspek 47 tahun dikatakan mengamuk selepas adik lelakinya tidak mahu memberikan rokok yang dimintanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Assisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata adik suspek kemudian ke Balai Polis Kepala Batas untuk membuat laporan berikutan tidak tahan dengan amukan abangnya.

Foto : NSTP

Bagaimanapun katanya, semasa dalam perjalanan ke balai polis, adik suspek menerima panggilan bahawa rumah mereka telah terbakar.

“Jiran yang tinggal berdekatan rumah suspek menghubungi adik suspek dan memberitahu bahawa suspek telah membakar rumah (kediaman didiami suspek dan ahli keluarganya) dan berjaya menangkap suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd Asr, rumah itu didiami suspek, ibu dan adik namun ketika kejadian ibu suspek tiada di rumah kerana pergi melawat anak perempuannya di Balik Pulau.

Jelasnya lagi, rumah dua tingkat itu mempunyai lima bilik tidur dan dua bilik air dengan bahagian atas diperbuat daripada kayu dan bawahnya pula simen.

Kebakaran itu menyebabkan semua harta dalam rumah berkenaan musnah termasuk empat buah motosikal lama yang sudah tidak digunakan.

“Rumah jiran berhampiran turut mengalami kebakaran namun mujur hanya di bahagian dinding dapur sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata berdasarkan pengakuan awal suspek mengaku membakar langsir rumah dengan menggunakan pemetik api di bilik tidurnya sendiri sehingga api marak dan membakar keseluruhan rumah.

“Hasil ujian air kencing suspek mendapati positif dadah,” katanya.

Suspek yang mempunyai 14 rekod lampau itu kemudian ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini