comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Rolex Dr Zulkilfli dibida hamba Allah RM135,000

 

KUALA LUMPUR: Jam tangan Rolex milik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berjaya dibida dengan harga tertinggi RM135,000.

Kata Dr Zulkifli, jam tangan berkenaan sudah diserahkan kepada individu yang memenangi bidaan itu, hari ini.

Menerusi laman Facebooknya, Zulkifli memaklumkan, jam tangan itu diserahkan kepada individu tersebut di pejabatnya di sini, pada 3.15 petang tadi.

“Tujuh minit sebelum bidaan ditutup semalam (tengah malam tadi), seorang ‘hamba Allah’ telah membeli dengan harga RM135,000. Itulah yang muktamad dan terakhir.

“Saya sejujurnya terkejut kerana yang membeli (jam tangan), saya mengenalinya tanpa saya ketahui dia sanggup membida dan dia mahukan saya rahsiakan namanya,” katanya.

Dr Zulkifli dimaklumkan, individu itu memberi tiga sebab mengapa sanggup membida jam tangan itu dengan harga sedemikian iaitu pertama, kerana ia dihadiahkan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dan kedua, kerana beliau pernah memilikinya semasa menjadi Mufti Wilayah Persekutuan.

“Ketiganya, kerana demi Palestin, maka dia bertekad walau setinggi mana bidaan, dia sanggup mendapatkannya.

“Selepas kami bercakap dengan linangan air mata, sebak yang amat sangat, tujuannya itu saya lihat penuh dengan keikhlasan dan dia telah menyerahkan kepada saya duit sebanyak itu (RM135,000).

“Alhamdulillah, kita akan bawa kesemuanya (wang hasil bidaan), lebih kurang RM100,000 untuk kepada Muslim Care di Jordan yang kami telah buat temujanji untuk penyerahan langsung kepada rakyat Palestin,” katanya.

Menurut Dr Zulkifli, baki wang RM35,000 itu pula akan dibahagikan dan diserahkan kepada lapan badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia antaranya Mercy Malaysia, Aqsa Syarif (MyCare), Global Peace Malaysia, Cinta Gaza, Aman Palestin, PAS Relief, MAPIM dan MyFundAction.

“Tekad saya, tidak akan ambil walau satu sen. Ini adalah amanah dan ini adalah tujuan kami apabila kami buka bidaan.

“Moga ianya memberi manfaat kepada semua yang memberi dan menderma kepada saya, semuanya akan mendapat pahala pada hari akhirat kelak, insya-Allah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Dr Zulkifli memaklumkan melelong jam tangan Rolex kesayangannya dengan harga tapak RM40,000 dan hasil jualan akan didermakan sepenuhnya untuk rakyat Palestin.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini