comscore
Tumpuan :
Nasional

Rondaan berterusan pantau  kemasukan pendatang tanpa izin

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim (kiri) dan Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah meninjau salah sebuah daripada 27 kem pemerdagangan manusia di Wang Burma.

PADANG BESAR: Hampir sedekad sejak penemuan kem dan kubur etnik Rohingya di Wang Kelian, Perlis, pihak media berpeluang untuk melihatnya secara dekat apabila ikut serta dalam tinjauan yang diketuai Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim pada Sabtu.

Kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sekitar Bukit Wang Burma, Wang Kelian pernah digemparkan berkaitan sindiket pemerdagangan manusia pada 2015.

Mangsa sindiket dipercayai adalah pendatang dari daerah Rakhine di Myanmar.

 

Susulan itu, pada Mac 2019, Suruhanjaya Diraja R-C-I ditubuhkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan selesai pada Jun 2019.

Menurut Muhammad, kawasan itu kini sentiasa berada dalam pemantauan dari semasa ke semasa dengan rondaan berjalan kaki berterusan secara berkala Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasukan 69 Komando, untuk memastikan tiada lagi aktiviti kemasukan pendatang tanpa izin.

“Setakat ini daripada pelaporan yang kita dapat, tidak ada lagilah kesan-kesan baharu tentang wujudnya kem-kem pendatang tanpa izin di garisan sempadan,” katanya kepada pemberita.

Tinjauan turut disertai pegawai dari Kontinjen I-P-K Perlis dan I-P-D Padang Besar, serta Pasukan Gerakan Am P-G-A dan pasukan 69 Komando.

Pengalaman berharga buat wakil media menelusuri  laluan hutan dan berbukit mengambil masa lebih tiga jam dari Pos PGA Simpang Lima dekat sini, sejauh kira-kira empat kilometer.

Muhammad berkata, satu daripada bekas tapak kem lama itu merupakan kem yang agak besar daripada keseluruhan 27 kem yang aktif dipercayai digunakan penyeludup untuk membawa masuk pendatang tanpa izin pada ketika itu menggunakan beberapa laluan dari kawasan sempadan berkenaan.

“Apa yang kita dapati hari ini (semalam) ialah tinggalan oleh pendatang tanpa izin pada masa dahulu, dan kita dapati masa kita nak naik tadi pun, kita dapati laluan yang kita gunakan itu pun telah ditumbuhi semak-samun untuk sampai ke puncak ini,” katanya.

Antaranya barangan yang ditemui ialah patung mainan; bungkusan plastik makanan yang tertera tarikh luput pada 2015 dan perkakasan memasak termasuk pinggan.

Turut ditemui adalah kanvas, yang digunakan sebagai bumbung ‘penjara’ mangsa; pakaian yang hampir reput dengan jenamanya dari Dhaka, Bangladesh; guni beras dan bekas tin minuman yang didapati tidak dijual di negara ini.

Sementara itu, Muhammad berkata, modus operandi kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin ke negara ini melalui sempadan negeri itu kini dipercayai lebih tertumpu menggunakan laluan berpagar yang dipotong dan melalui ejen ataupun ‘transporter’ tersusun yang menggunakan khidmat orang tempatan.

Beliau berkata, berdasarkan soal siasat pihaknya mendapati nilai kos yang terpaksa dibayar pendatang tanpa izin bagi kegiatan berkenaan dipercayai agak tinggi iaitu kira-kira RM5,000 seorang untuk mereka sampai di kawasan dijanjikan.

Dalam pada itu, beliau berkata rondaan PGA dan pasukan 69 Komando di kawasan sempadan Malaysia-Thailand itu juga untuk melindungi khazanah hutan yang terdapat di Perlis supaya tidak diceroboh sewenang-wenangnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini