Tumpuan :
Nasional

Roti canai makanan jalanan kedua terbaik dunia!

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia!

Manakan tidak, sarapan pagi kita yang digilai, roti canai, secara rasminya diiktiraf sebagai makanan jalanan kedua terbaik di dunia.

Senarai tersebut dikeluarkan ‘Taste-Atlas’, sebuah panduan kepada makanan tradisional yang mengumpul resipi-resipi autentik, ulasan pengkritik makanan dan artikel penyelidikan mengenai bahan masakan dan hidangan popular.

Dalam senarai Top 50 “Makanan Jalanan Terbaik di Dunia” yang dikeluarkan di laman Twitter mereka 18 Februari lalu, ladu dari negara China, Guotie diletakkan sebagai makanan jalanan terbaik di dunia walaupun berkongsi mata yang sama dengan roti canai.

Guotie merupakan ladu yang digoreng, yang biasanya diisi dengan daging babi cincang, kubis Cina, daun bawang, halia, wain beras, dan minyak biji bijan.

Turut mendapat mata sama, juadah ikan seperti sate dari Sepanyol yang dikenali sebagai Espetos di tangga ketiga.

Makanan ikonik Mexico, Taco dan Carnitas masing-masing menduduki tangga keempat dan kelima senarai tersebut.

Di tangga keenam pula, Kaarage yang berasal dari Jepun diikuti makanan popular Vietnam di negara kita, Banh Mi.

Pierogi – sebuah ladu dari negara Poland pula ditangga kelapan, diikuti dengan Esquites, sebuah makanan jalanan popular Mexico yang diperbuat dari biji jagung matang, epazote dan garam di tangga kesembilan.

Cochinita Pibil yang berasal dari negara Yucatan pula berada di tempat ke sepuluh.

Makanan popular lain di dalam senarai tersebut termasuklah bubur ayam, kebab doner, hotteok, shawarma dan tose.

Manakala, menurut senarai itu, makanan dari negara jiran Indonesia – bubur ayam berada di tangga ke-13 selain tempe mendoan (tempat ke-14), pempek (tempat ke-37), pisang goreng tempat ke-40 dan serabi yang berada di tangga ke 41.

Loading...
Terkini