KUCHING: Sebuah rumah amal yang dikaitkan ‘Global Ikhwan Service and Business Holdings’ (GISBH) beroperasi tanpa permit yang sah sejak 2019 selain kerap bertukar lokasi.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata rumah amal terbabit mula diberi permit operasi selama lima tahun pada 2014.
Beliau berkata, selepas permit tamat pada 2019, pengurusan rumah amal itu diminta hadir ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bagi memperbaharui permit.
“Ketika itu, ada seorang penyelia datang dan mengambil borang, bagaimanapun borang itu tidak dikembalikan sehinggalah kami mendapat maklumat penyelia terbabit sudah meninggal dunia akibat penyakit diabetes.
“Selepas kematian penyelia terbabit, tiada sesiapa daripada rumah amal itu berhubung dengan JKM,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di Baitulmakmur, Petra Jaya, hari ini.
Menurut Fatimah, pihaknya bertambah sukar berurusan dengan pengurusan rumah amal itu apabila mereka kerap berpindah ke lokasi lain.
“Hasil pemantauan JKM, rumah itu berpindah ke beberapa tempat selepas mereka beroperasi tanpa permit sejak 2019.
“Perubahan lokasi rumah amal itu dikesan pada 2020, sekali lagi pada 2021 dan pada 2022, mereka berpindah sebanyak dua kali,” katanya.
Fatimah berkata, kali terakhir rumah amal terbabit dikesan beroperasi di Lorong Kepayang 9A, Taman Lian Kwong, Kuching.
“JKM yang membuat pemantauan dan pemeriksaan pada 10 Julai lalu mendapati seramai 18 kanak-kanak menghuni rumah amal itu,” katanya.
Menurutnya, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap rumah amal itu bagi memastikan mereka tidak terus beroperasi secara haram.
“Kami bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti polis, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) untuk mengambil tindakan.
“Ia perlu bagi memastikan keselamatan kanak-kanak yang menghuni rumah amal itu termasuk menjamin penjagaan kesihatan mereka,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.