BALING: 17 rumah baharu penduduk yang tinggal di kawasan berisiko sepanjang Sungai Kupang di sini, dalam proses pembinaan dan dijangka siap menjelang Mac tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata rumah baharu itu dibina di Kampung Bok Bak di sini, kini sudah siap 26 peratus selepas pembinaannya bermula pada Mac lalu.
17 rumah baharu penduduk yang tinggal di kawasan berisiko sepanjang Sungai Kupang, dalam proses pembinaan dan dijangka siap menjelang Mac tahun depan. pic.twitter.com/7V7T3MFPVV
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 2, 2024
Katanya, pembinaan rumah itu membabitkan kos sebanyak RM2.9 juta, manakala kos pengambilan tanah seluas 12 hektar adalah sebanyak RM600,000.
“Sebelum ini, 12 keluarga yang rumah mereka musnah telah dipindahkan ke Keda Kampung Sadek dan baki 17 keluarga akan berpindah ke Kampung Bok Bak.
“Projek perumahan ini dimulakan pada Mac lalu dan setakat ini telah mencapai 26 peratus iaitu satu peratus lebih awal dari perancangan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau perkembangan projek di Kampung Bok Bak di sini, hari ini.
Sebelum ini, semua 12 buah keluarga yang kehilangan rumah dalam kejadian banjir puing 4 Julai 2022 dipindahkan ke rumah baharu yang dibina kerajaan negeri di Kampung Keda Sadek, di sini.
Penyerahan kunci disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Jun tahun lalu.
Kejadian banjir puing dua tahun lalu menyebabkan 41 kawasan di daerah Baling terjejas yang turut mengorbankan tiga nyawa termasuk wanita hamil serta mengakibatkan kerugian berjumlah RM28 juta.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri membuat persiapan awal bagi berdepan peralihan monsun di seluruh negeri termasuk di Kampung Iboi.
“Apabila berlaku peralihan monsun 24 September lalu, ia dijangka membawa hujan lebat yang mengakibatkan aliran kuat di Sungai Iboi..baru-baru ini air naik rapat jambatan.
“Usaha mengeluarkan batu-batu dan bahan-bahan yang menyekat aliran air sepanjang lima kilometer bermula dari Jambatan Bailey, Kampung Iboi..bila air mengalir lancar barulah tidak mengganggu struktur tebing dan jambatan,” katanya.
Beliau berkata pembinaan empangan sabo bagi mengurangkan kesan banjir puing serta pembinaan jambatan kekal menggantikan jambatan Bailey yang dibina selepas bencana banjir puing pada Julai 2022 juga dalam perkembangan.
“Berkenaan pembinaan empangan sabo, sudah ada penandaan lokasi..projek sudah juga dalam peringkat reka bentuk dan kerja pembinaan dijangka dilaksanakan tahun hadapan.
“Manakala projek pembinaan jambatan kekal bagi menggantikan Jambatan Bailey akan dibuka ditender Januari tahun hadapan..ia akan dibina lebih tinggi dari tapak asal,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa