comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah dilanda banjir kali kedua

POKOK SENA: “Makcik dan anak baru saja selesai cuci dua rumah kami Sabtu lalu selepas dilanda banjir di Kampung Empa, di sini, sejak 18 September lalu.

“Namun belum sempat kami berehat, tiba-tiba rumah kami dimasuki air kali kedua semalam tetapi tidak seteruk sebelum ini,” kata Siti Leha Man, 76.

Siti Leha berkata, dia dan anaknya, Mohd Nazmi Ismail, 36, sebelum ini tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pokok Sena sebelum pulang ke rumah tiga hari kemudian.

Katanya, mereka mengambil masa kira-kira seminggu untuk mencuci bahagian dalam dan luar rumah.

“Namun, tak sangka pula air naik penuh dalam rumah dan di perkarangan rumah selepas Maghrib Sabtu lalu tetapi mulai surut hari ini.

“Memang sedih tengok lantai rumah dan barang-barang lain kembali kotor dan basah malah saya memang sudah tidak berdaya nak bersihkan lagi rumah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Siti Leha berkata, dia tidak berdaya untuk mengangkat barang berat disebabkan usianya yang sudah lanjut selain menghidap pelbagai penyakit.

Katanya, perabot dan barangan dalam rumahnya ditenggelami air dalam kejadian pertama dan kedua.

“Buat masa sekarang, kami nak tengok dulu dan tunggu air surut sepenuhnya. Kami perlu kumpul kekuatan dan semangat dulu sebelum boleh cuci rumah,” katanya.

Anaknya, Mohd Nazmi berkata, dia mengambil masa kira-kira seminggu untuk membersihkan rumah akibat banjir kali pertama.

Katanya, pada petang Sabtu lalu, mereka baru siap membersihkan sepenuhnya dua rumah, tetapi malam itu air naik semula.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Kedah terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 1,431 orang daripada 459 keluarga dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pokok Sena, Kota Setar dan Kubang Pasu setakat 1.30 tengah hari ini.

Jumlah mangsa tertinggi berada di Pokok Sena iaitu seramai 737 orang, diikuti Kota Setar, 410 orang dan Kubang Pasu, 284 orang.

Dalam pada itu, enam sungai kini berada pada paras bahaya iaitu Sungai Bata dan Sungai Padang Terap di Kubang Pasu, Sungai Anak Bukit di dua lokasi iaitu di Taman Aman dan Jambatan TAR serta Sungai Kedah di Kota Setar, manakala satu adalah Sungai Titi Kerbau di Pendang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini