comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah dinaiki air, persiapan majlis kahwin tergendala 

KUALA BERANG: Persiapan satu keluarga untuk mengadakan kenduri kahwin Sabtu ini tergendala susulan rumah mereka dinaiki air sedalam 0.5 meter.

Sulong Hasan, 69, dari Kampung Kepah, memaklumkan kerja-kerja pemasangan pelamin sepatutnya dilakukan semalam namun terpaksa ditangguhkan berikutan rumahnya dinaiki air.

Jelasnya mereka hanya mempunyai masa dua hari iaitu hari ini dan esok untuk melakukan semua persiapan.

Justeru sejak awal pagi tadi mereka sekeluarga telah bertungkus lumus membersihkan ruang tamu rumah yang dipenuhi lumpur.

“Namun, melihat kepada keadaan cuaca hari ini yang masih hujan membuatkan hati saya berdebar-debar kerana bimbang akan berlakunya banjir lagi.

“Air mula surut selepas subuh tadi dan kerja membersihkan rumah sedang dilakukan bagi membolehkan persiapan dilakukan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Tambahnya memandangkan jangka waktu hanya dua hari untuk mengemas rumah yang ditengelami banjir mengakibatkan dia dan ahli keluarga lain sedikit kelam-kabut.

Katanya, kerja mencuci rumah saja mengambil masa yang panjang berikutan terdapat kesan lumpur dan itu belum ditambah dengan kerja-kerja lain yang memerlukan masa serta tenaga.

Sulong berkata, dia berharap kenduri kahwin anaknya Masuze Mohd Yusof, 39, dapat dilangsungkan dengan sempurna walaupun berdepan musim banjir.

“Apabila melihat hujan, hati tidak tenang dan bimbang paras air Sungai Telemong, yang terletak berhampiran rumah kembali melimpah hingga berlakunya banjir.

“Akad nikah juga akan di adakan di sini justeru ia membimbangkan kami sekeluarga kerana keadaan cuaca masih tidak menentu dan boleh mengundang kepada berlakunya banjir,” katanya.

Loading...
Terkini