
HULU SELANGOR: Sebuah rumah teres dan dua kenderaan hangus dalam kebakaran di Jalan Kuala Kubu Bharu-Rawang, dekat Rumah Murah Kerling, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi itu, kesemua lima penghuni rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan 13 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dengan bantuan BBP Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 1.18 pagi.

”Sebaik tiba, didapati rumah teres setingkat itu terbakar 80 peratus. Turut musnah adalah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux (100 peratus) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima (15 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran dipercayai bermula dari tempat letak kenderaan, sebelum disedari oleh pemilik rumah.
“Api berjaya dikawal jam 1.55 pagi. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.