comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah hancur depan mata dibadai ribut

Nik Nazar Noor Ab Ghani tidak dapat menahan sebak apabila rumah didiami hancur di depan mata dalam kejadian ribut di Kampung Kok Berangan, di sini, petang semalam.-Foto: NSTP

PASIR PUTEH: Seorang lelaki tidak dapat menahan sebak apabila rumah didiami hancur di depan mata dalam kejadian ribut di Kampung Kok Berangan, di sini, petang semalam.

Mangsa ribut, Nik Nazar Noor Ab Ghani, 44 berkata ketika kejadian, dia sedang berada dalam rumah sebelum terdengar ribut kuat dan hujan lebat.

Katanya, sebaik bumbung rumahnya tercabut, dia berlari menyelamatkan diri dan hanya sempat mencapai sebuah beg dan baju miliknya.

“Kejadian berlaku sangat pantas, dalam hanya lima minit, rumah saya hancur sepenuhnya.

“Saya bersyukur saya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun sedih melihat keadaan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Berangan, di sini, hari ini.

Nik Nazar berkata, dia tinggal di rumah pusaka keluarga seorang diri, namun ada kalanya ditemani dua anak, Nik Mohd Akif Mirza,10 dan Nik Mohd Amsyar Mirza, 9 yang dijaga secara bergilir-gilir dengan bekas isteri.

“Saya tidak tahu ke mana lagi mahu tinggal dan lebih sedih bila mengenangkan rumah ini adalah tempat berteduh jika anak-anak balik tinggal dengan saya,” katanya yang bekerja kontrak bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pasir Puteh.

Turut mengalami kerosakan, rumah abang ipar mangsa, Saari Yusof, 58 yang rosak di bahagian bumbung.

Petang semalam, beberapa kampung di daerah ini dilanda ribut dan puting beliung antaranya Kampung Kok Berangan, Saring, Gong Nering, Selising dan Bypass Pasir Puteh selama 10 hingga 15 minit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, antara lokasi pokok tumbang adalah di Kampung Kedai Menanti yang membabitkan sembilan anggota bertugas.

Pihaknya mengambil masa hampir dua jam untuk mengalihkan pokok tumbang yang melintangi jalan menggunakan tiga unit mesin pemotong.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini