comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah Hangus Terbakar, Lima Beranak Tinggal Sehelai Sepinggang

Api marak membakar kediaman di Kampung Panji Alam, malam tadi (FOTO: NSTP)

KUALA TERENGGANU: Lima beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Panji Alam, di sini, jam 9.11 malam tadi.

Mangsa, Shazrol Shafiruddin Sulaiman, 32, berkata, ketika kejadian isteri, Norazrina Mohamad, 30, dan anak bongsu, Nur Shasya Erliya berusia enam bulan berada di rumah dan dia keluar membeli makanan untuk isteri.

Dua lagi anaknya, Nur Shasya Ellysya, enam tahun dan Nur Shasya Eryna berusia empat tahun berada di rumah neneknya yang berhampiran.

“Saya dihubungi saudara mara memberitahu rumah terbakar dan bergegas pulang.

“Saya bersyukur kerana isteri dan anak bongsu sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Shazrol berkata, beliau kerugian hampir RM100,00 selepas semua barangan seperti motosikal, perabot, peralatan elektrik dan pakaian musnah.

Abang mangsa, Shahrir Sharafuddin, 34, yang tinggal berjiran berusaha memadamkan api menggunakan air dari paip getah tetapi gagal.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata pihaknya menggerakkan 20 anggota bersama empat jentera.

“Semasa bomba sampai, kebakaran sudah hampir 100 peratus dan kita mengambil masa 15 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, Norazrina memberitahu dia ternampak asap dan api daripada bawah rumah di ruang tamu sebelum keluar memberitahu abang ipar, Shahrir Sharafuddin.

“Ketika keluar saya tinggalkan anak bongsu sendirian di dalam rumah dan ketika kembali semula untuk mengambil anak, saya terkejut melihat api sudah membakar sebahagian ruang tamu dan dinding.

“Saya nekad masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan anak. Selepas berjaya membawa keluar anak saya cuba masuk semula untuk menyelamatkan dokumen diri dan barang kemas tetapi dihalang abang ipar kerana api semakin marak,” katanya.

Dia berkata, barang kemas seperti gelang, rantai dan cincin bernilai lebih RM10,000 dan wang tunai llebih RM1,000 hangus – BULETIN TV3

Loading...
Terkini