comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah tanpa izin di perairan Semporna: Ada pemilik bakar rumah sendiri bagi tujuan tular, raih simpati – KePKAS 

Foto tular

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Terdapat pemilik rumah yang dibina secara haram di perairan Semporna dan terbabit dalam operasi perobohan pihak berkuasa beberapa hari lalu, dipercayai sengaja membakar rumah untuk ditularkan di media sosial.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, berdasarkan maklumat pihak polis, rumah penduduk terbabit sengaja dibakar ketika ketiadaan pasukan operasi.

“Menurut sumber dari pihak PDRM yang terlibat dalam operasi ini, ada pemilik rumah telah bertindak membakar rumah mereka sendiri semasa ketiadaan pasukan operasi dalam kawasan tersebut untuk tujuan tular di media sosial dan meraih simpati serta perhatian dari netizen.

“Operasi dilaksanakan atas faktor isu-isu keselamatan di peringkat daerah susulan insiden tembakan di Teluk Darvel dan juga kegiatan-kegiatan jenayah rentas negara di lokasi penempatan tanpa izin .

“Kedaulatan undang-undang negara yang berkuatkuasa dalam isu ini haruslah dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan berhubung penularan isu itu sejak semalam.

Foto tular

Berdasarkan gambar dan maklumat yang disebarkan di media sosial sebelum ini, penempatan masyarakat Palauh di beberapa pulau di Semporna itu didakwa diroboh pihak berkuasa.

Datuk Christina berkata, operasi perobohan itu membabitkan rumah penempatan tanpa izin yang dibina di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) dan dilaksanakan selepas satu mesyuarat yang dipengerusikan Taman-Taman Sabah (TTS) dan Ketua Polis Daerah Semporna mengenai pengedaran Notis Pengosongan Kawasan TMTS pada 26 April lalu.

Operasi fasa satu itu katanya, membabitkan penempatan tanpa izin di Pulau Bohey Dulang dan Pulau Bodgaya, kedua-duanya dalam kawasan TMTS.

Ia kemudian disusuli operasi pengedaran Notis Pengosongan pada 2 hingga 4 Mei lalu membabitkan pihak polis, Polis Marin, Pejabat Daerah Semporna, ESSCOM, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Majlis Daerah Semporna.

Menurutnya, sebanyak 273 rumah penempatan tanpa izin yang dibina di kawasan TMTS diberikan notis berkenaan.

“Kerja-kerja meroboh dan pengosongan penempatan tanpa izin ini telah dilaksanakan bermula pada 4 hingga 6 Jun 2024 dan sebanyak 138 buah penempatan tanpa izin telah dirobohkan yang dibina dalam kawasan panas.

“Sejumlah rumah lain telah dirobohkan sendiri oleh pemilik-pemilik terbabit. Ada juga pemilik-pemilik yang meninggalkan rumah mereka begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, dari sudut pematuhan Enakmen Taman-Taman 1984, TMTS adalah satu kawasan yang diwartakan sebagai kawasan TTS iaitu Taman Negeri.

Jelasnya, semua kesalahan dalam Enakmen Taman-Taman seperti menangkap ikan, membina strukur tanpa izin dan bercucuk tanam memberikan kuasa kepada TTS untuk mengambil tindakan seperti mana yang telah diperuntukan dalam Enakmen Taman-Taman. ⁠

Isu pembukaan hutan di Pulau Bodgaya untuk tujuan pertanian serta pembinaan lebih 200 buah struktur rumah tanpa izin adalah menjadi satu contoh pelanggaran terhadap Enakmen Taman-Taman.

Semua tindakan yang dilaksanakan telah dipersetujui oleh agensi-agensi yang berkaitan dalam beberapa sesi mesyuarat termasuk lapan wakil komuniti TMTS yang sah juga sebulat suara meminta agar komuniti tanpa izin dikeluarkan segera dari kawasan TMTS.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini