comscore
Tumpuan :
Nasional

Rumah terbakar: 6 sekeluarga nekad terjun dari tingkap selamatkan diri 

Empat rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Muhibbah Baru, Menggatal, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Enam sekeluarga termasuk kanak-kanak lapan tahun terpaksa terjun dari tingkap di tingkat atas bagi menyelamatkan diri apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Muhibbah Baru, Menggatal, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, empat rumah musnah terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Suliani Aidi, 28, berkata, ketika kejadian dia bersama suami dan anak perempuan berusia lapan tahun sedang tidur di bilik rumahnya.

“Saya terjaga selepas terdengar letupan sebelum ibu dan dua ahli keluarga lain memberitahu rumah sebelah terbakar. Suami kemudian membuka pintu rumah lalu api marak dan pantas merebak di depan rumah.

“Suami cuba memadam api namun gagal sebelum kami terjun dari tingkap rumah setinggi tiga meter dari tanah untuk selamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, mereka sekeluarga sekali lagi berdepan kesukaran apabila terpaksa menyeberangi parit besar untuk ke kawasan selamat.

“Syukur semua kami selamat walaupun semua harta benda musnah terbakar.

“Hanya dokumen penting yang kami dapat selamatkan selain baju yang kami pakai sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Pengusaha Kanan Bomba, Kiniremmy Zikol@Lupi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 9.57 malam.

Katanya, seramai 26 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dua pancutan dari sumber air jentera.

Menurutnya, kebakaran membabitkan empat rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

“Operasi dilaporkan terkawal pada 11.15 malam dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.

Punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada 12.28 tengah malam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini