comscore
Tumpuan :
Nasional

Runtuhan tebing menghantui penduduk, dua minggu tak lena tidur

Penduduk Cassia Garden berkumpul bagi meluahkan rasa bimbang mereka mengenai kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Lebih dua minggu tidur lena terganggu memikirkan keselamatan diri dan keluarga berikutan runtuhan tebing yang kawasan perumahan.

Begitu rutin baharu dalam kehidupan kira-kira seribu penduduk di perumahan mewah Cassia Garden Residence, di sini sejak kejadian yang pertama kali dikesan pada 25 April lalu.

Menurut penduduk, Roesman Othman, 62, beliau empat sekeluarga tidak lena tidur apatah lagi rumahnya berada betul-betul di hadapan runtuhan berkenaan.

Jelasnya, ini adalah kejadian pertama berlaku selama empat tahun menduduki kediaman tersebut.

“Hari-hari saya pantau keadaan, tengok berapa jauh (runtuhan) dan saya beritahu (penduduk), berapa baki ‘buffer’ (penampan) sebelum sampai jalan (utama).”

“Bila saya amati ini adalah ‘culvert’ (pembetung) yang terakhir, kalau ia jatuh, ia akan melibatkan jalan.”

“Dari ‘culvert’ ke jalan kira-kira 10 kaki (tiga meter) dan dari ‘culvert’ ke cerun ada dalam 10 kaki, lebih kurang 20 kaki yang kita nak pantau supaya pergerakan itu tidak teruk lagi,” katanya.

Tambahnya, bencana diburukkan lagi dengan hujan lebat yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Setakat ini, beliau sekeluarga belum bercadang untuk berpindah kerana keadaan belum memudaratkan.

“Saya rasa semua penduduk anggap kawasan sini selamat, kami tak pernah risau pasal tanah runtuh, tak pernah bercerita, satu-satunya perkara yang kita sembang, air (hujan) itu banyak, deras, air datang dari luar kawasan Cassia,” katanya.

Perumahan mewah Cassia menempatkan 220 unit kediaman bernilai RM1.2 juta yang mula diduduki sejak 13 tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Anizan Mohd Ali, 42, berkata pihaknya telah membuat laporan kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), polis dan syarikat pemaju sehari selepas bencana.

“Dari tempoh laporan itu, pagar (kawasan perumahan) tak runtuh lagi, selang seminggu, (baru) pagar runtuh iaitu kira-kira lapan ke 10 meter, keadaan sekarang ini, runtuhan tak jauh dari jalan (utama).”

“Pergerakan (tanah) masih aktif, kita minta pembaikan segera daripada mana-mana jabatan dan agensi terlibat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bimbang keadaan semakin parah, jelasnya ahli jawatankuasa (AJK) persatuan penduduk dalam mesyuarat tergembar semalam memutuskan kenderaan berat dilarang memasuki kawasan perumahan terbabit kecuali lori sampah.

“Kita takut sebab jalan masuk ke kawasan kita ada satu sahaja, sekiranya ada berlaku pergerakan lagi, ia makan kawasan kita.”

“Kita ada mesyuarat tergempar dengan AJK persatuan sini, kita cari jalan sekiranya berlaku apa-apa di sini, kita terpaksa buka jalan lain untuk penduduk keluar masuk,” katanya sambil memberitahu pemantauan dilakukan setiap hari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini