comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Runtuhan tebing: Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) ditutup 3 bulan

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUCHONG: Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) bagi pembinaan loji rawatan air (LRA) di Taman Mas, di sini dijangka ditutup selama tiga bulan susulan runtuhan tebing semalam.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim berkata, penutupan itu bagi membolehkan pihak konsultan menilai semula rekaan projek tersebut bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Kerja-kerja di tapak pembinaan mengikut prosedur, tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP),” katanya yang ditemui pemberita selepas meninjau tapak projek selama kira-kira 30 minit hari ini.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam, pekerja tapak pembinaan projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) berdepan detik cemas apabila tebing runtuh dan menenggelamkan kawasan pembinaan projek LRA sedalam 19 meter.

Kesemua kira-kira 100 pekerja sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, menurut Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, projek pembinaan terbabit perlu dihentikan sehingga laporan dikemukakan oleh konsultan projek berhubung kejadian dan langkah-langkah yang perlu dibuat.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ahli Parlimen Sepang itu berkata, notis henti kerja akan dikeluarkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melalui Pengarah Kejuruteraannya kepada pemaju terlibat.

“Kerja-kerja di tapak hanya untuk pembaikan dan pencegahan kerosakan yang berlaku. Kontraktor perlu segera baiki tebing tersebut,” katanya.

Jelasnya, konsultan projek juga perlu mengemukakan cadangan kepada MPSepang untuk langkah ke hadapan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini