comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Rusuhan “Derby Utara” – 7 lelaki ditahan, 2 cedera di kepala

 

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Tujuh lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam rusuhan antara kumpulan penyokong Penang dan Kedah Darul Aman (KDA) selepas perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata rusuhan pada kira-kira jam 11.20 malam itu juga menyebabkan dua individu cedera di kepala, selain cermin bas yang membawa penyokong KDA pecah.

Artikel berkaitan: Penyokong Penang dan Kedah bergaduh

“Kejadian berpunca daripada provokasi antara kedua-dua (kumpulan) penyokong di luar stadium selepas menyaksikan perlawanan.”

“Selepas menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari IPD Timur Laut telah sampai di lokasi bagi mengawal keadaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pihak polis juga merampas dua biji batu, dua buah kon jalan dan sebatang kayu dipercayai digunakan oleh kesemua suspek semasa kejadian.

Dalam kejadian sama, cermin pintu sebuah bas yang membawa penyokong pasukan KDA pecah akibat ditumbuk oleh salah seorang suspek.

Selain itu, dua suspek yang ditangkap juga mengalami kecederaan di kepala dipercayai akibat dibaling batu.

Kesemua suspek berumur di antara 18 hingga 38 tahun, berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak.

Mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan mendapati kesemuanya negatif  dadah.

Kesemua suspek telah ditahan reman selama dua hari sehingga esok (24 Ogos).

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

Perlawanan itu yang disifatkan sebagai “Derby Utara” berkesudahan dengan kemenangan 2-1 berpihak kepada KDA.

Perlawanan itu juga menyaksikan gol tuan rumah Penang dibatalkan pengadil serta pasukan itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Adib Abdul Ra’op dilayangkan kad merah pada minit ke-76.

Ketegangan perlawanan dalam stadium itu dipercayai melimpah ke luar stadium selepas tamat perlawanan.

Berdasarkan rakaman tular, penyokong kedua-dua pasukan berhimpun di Jalan Datuk Keramat sebelum berlaku provokasi antara satu sama lain.

Ia menyebabkan kedua-dua kumpulan saling membaling objek dan tercetus pergaduhan.

Loading...
Terkini