comscore
Tumpuan :
Nasional

RUU Keselamatan Siber dibentangkan bagi bacaan kali kedua

Menteri Digital, Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber 2024 sebagai persediaan susulan peningkatan prasarana teknologi dan digital yang akan membuka ruang lebih besar kepada ancaman siber dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata ancaman keselamatan siber kini semakin kompleks melalui penggunaan teknologi terkini dan canggih, sekali gus menuntut kesiapsiagaan terbaik seluruh jentera kerajaan menangani ancaman ini.

“Penggubalan RUU Keselamatan Siber 2024 memberi tumpuan kepada perlindungan keselamatan siber infrastruktur maklumat kritikal negara.

“Ini kerana apa-apa pencerobohan atau serangan ke atas infrastruktur kritikal ini boleh memberi impak besar kepada negara dan rakyat, terutama dalam aspek keselamatan, ekonomi, kesihatan dan sosial,” katanya.

Gobind berkata, ia akan mengikat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dengan entiti kerajaan boleh dilantik sebagai ketua sektor infrastruktur maklumat kritikal negara atau ditetapkan sebagai entiti infrastruktur maklumat kritikal negara dan mempunyai kewajipan tertentu.

Katanya, antara kewajipan itu termasuk untuk memberi maklumat mengenai infrastruktur maklumat kritikal negara dimiliki dan dikendalikannya serta kewajipan melaksanakan tataamalan, penilaian risiko keselamatan siber dan audit, melaporkan insiden keselamatan siber dan latihan keselamatan siber.

Beliau berkata, kegagalan mematuhi kewajipan dinyatakan adalah kesalahan di bawah RUU berkenaan, namun tiada tindakan pendakwaan boleh diambil ke atas Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi apa-apa kegagalan mematuhi peruntukannya.

Gobind berkata, sebanyak 7,192 insiden keselamatan siber dilaporkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pada 2022, berbanding 5,575 insiden pada 2021 dan 4,194 insiden tahun sebelumnya.

Beliau berkata, trend serangan siber seperti Penafian Perkhidmatan Tersebar (DDOS), Pencerobohan, Jangkitan Perisian Hasad, Penghosan Perisian Hasad dan ‘Advanced Persistent Threat’ (APT) meningkat antara 2016 hingga 2022.

Bagaimanapun, katanya, perkembangan positif direkodkan pada 2023 apabila hanya 3,232 kes dilaporkan kepada NACSA.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini