comscore
Tumpuan :
Nasional

RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 diluluskan

FOTO: Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 yang bertujuan menambah baik liputan keselamatan sosial kepada golongan pekerja di negara ini.

RUU yang pertama kali dibentangkan pada Mac lalu itu dibahaskan 21 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebelum diluluskan dengan suara majoriti ahli Dewan Rakyat.

Kelulusan RUU itu diumumkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, selepas sesi penggulungan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Sim ketika membentangkan RUU itu berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan pelbagai faedah bagi melindungi pekerja yang ditimpa kemalangan bencana kerja, merangkumi faedah hilang upaya sementara, faedah orang tanggungan, faedah pendidikan dan kemudahan pemulihan.

Bagaimanapun katanya, ketika ini had umur 60 tahun di bawah skim keilatan dikekalkan dengan mengambil kira keupayaan dan risiko seseorang selepas melebihi umur 60 tahun.

“Namun di bawah Akta 4 Skim Bencana Pekerjaan masih terpakai kepada pekerja yang masih bekerja walaupun berumur lebih 60 tahun.

“Jadi 60 tahun ke atas masih bekerja dan ada kemalangan, maka mereka boleh mendapat tuntutan faedah. Tapi skim keilatan, hadnya 60 tahun,” katanya.

Di bawah RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024, pindaan yang dibuat bertujuan meningkatkan faedah tertentu yang diterima pekerja.

Sim berkata, beberapa penguatkuasaan undang-undang turut dilaksanakan bagi memastikan majikan mencarum antaranya pemeriksaan secara berjadual ke premis oleh pegawai pemeriksa di seluruh negara.

Katanya, pihaknya turut menggunakan kaedah ‘smart detection’ iaitu melaksanakan aktiviti pengesanan ke atas majikan dengan kerjasama agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta operasi bersepadu antara agensi dan jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

“Tindakan kompaun boleh diambil bagi kesalahan ditetapkan dan kadar kompaun boleh dikenakan tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah denda maksimum bagi sesuatu kesalahan.

“Tindakan pendakwaan juga boleh diambil PERKESO contohnya jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Bagaimanapun, Sim berkata hukuman semata-mata tidak memadai kerana apa yang penting adalah pekerja dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerja.

Oleh itu, katanya, pendekatan berhemah diambil melalui program pemutihan supaya majikan tampil mendaftar dan mencarum untuk pekerja mereka.

“Dalam tempoh pemutihan ini, jika majikan tampil ke hadapan dan mendaftar, kita tidak akan kenakan apa-apa hukuman.

“Matlamat utama PERKESO bukan untuk hukum sesiapa tetapi menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja,” katanya.

Melalui pindaan Seksyen 5, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), had maksimum kebolehinsuranan amaun gaji seorang pekerja dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.

Pindaan ke atas Jadual Ketiga memasukkan kadar caruman baharu bagi Bahagian I dan III bagi Caruman Jenis Pertama untuk Keilatan dan Bencana Kerja serta Caruman Jenis Kedua bagi Bencana Kerja apabila gaji seseorang pekerja melebihi RM5,000 dan RM6,000.

Selain itu, Jadual Keempat turut dipinda untuk memasukkan kadar caruman baharu dan gaji bulanan anggapan yang bersamaan bagi bulan itu apabila gaji seseorang pekerja melebihi RM5,000 dan RM6,000.

Bagi RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2024, pindaan dibuat pada Seksyen 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) untuk menaikkan had maksimum kebolehinsuranan amaun gaji pekerja daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebulan.

Ia turut membabitkan pindaan kepada Jadual Kedua dan Ketiga bagi memasukkan kadar caruman baharu yang perlu dibayar majikan dan pekerja.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini