comscore
Tumpuan :
Nasional

RUU Majlis Media Malaysia dijangka dibentang di Parlimen Jun ini

Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Kabinet meluluskan penubuhan Majlis Media Malaysia dan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) khusus mengenainya yang dijangka akan dibawa ke mesyuarat kedua penggal ketiga Parlimen ke-15, Jun nanti.

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, draf RUU itu sebenarnya sudah diluluskan Kabinet yang terdahulu dan sudah tersenarai untuk dibentangkan pada 2019, namun tergendala akibat perubahan kerajaan ketika itu.

Katanya, dengan terbentuknya Kerajaan Madani, perkara ini diteliti semula dan ada beberapa penyelarasan dibuat bagi memantapkan lagi RUU itu.

“Jabatan Peguam Negara sedang menyiapkan draf RUU ini untuk dibawa semula kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan sebelum ia dibawa ke Parlimen untuk digubal,” katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi, hari ini.

Semalam, kerajaan melancarkan semula Kod Etika Wartawan Malaysia dan memberi jaminan langkah itu tidak mengekang kebebasan media dan pengamal media di negara ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kos etika wartawan ini telah wujud pada 1989, namun ia kini ditambah baik untuk mendepani cabaran teknologi masa kini.

Beliau berkata, menerusi kod etika yang ditambah baik ini, prinsip kebebasan bersuara akan kekal dipertahankan kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini