comscore
Tumpuan :
Nasional

RUU minta bank bertanggungjawab atas kecuaian dalam kes tipu adalah langkah baik – pakar

Pakar Kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr P. Sundramoorthy.

KUALA LUMPUR: Persatuan pengguna dan pakar-pakar ekonomi mengalu-alukan langkah kerajaan untuk menggubal rang undang-undang (RUU) bagi membolehkan bank-bank turut dipertanggungjawabkan jika berlaku kecuaian semasa menguruskan kes penipuan dalam talian.

Pakar Kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr P. Sundramoorthy ketika dihubungi New Straits Times berkata bank-bank mempunyai tanggungjawab melindungi pelanggan mereka.

“Cadangan undang-undang baharu ini baik. Saya tidak fikir adalah tidak adil untuk meletakkan tanggungjawab ke atas bank-bank,” katanya.

Katanya, bank-bank mempunyai cara untuk melabur dalam sistem dan teknologi keselamatan yang teguh bagi mencegah penipuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), T. Saravanan.

“Institusi kewangan juga perlu memantau secara aktif akaun pelanggan untuk sebarang aktiviti atau transaksi yang mencurigakan,” katanya.

Tambah Sundramoorthy, ini mungkin melibatkan pengesahan berbilang faktor, penyulitan dan ciri keselamatan lanjutan lain untuk menyukarkan penipu untuk mendapatkan akses tanpa kebenaran kepada akaun pelanggan.

Pada masa sama beliau turut menyarankan kepada bank-bank supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung perkongsian maklumat, mendapatkan semula dana, mendidik pelanggan dan mendakwa penipu.

“Dengan melabur dalam pendidikan, teknologi, pemantauan, pengesahan, kerjasama dan sokongan, mereka boleh membuat kemajuan yang ketara dalam mencegah penipuan dan memastikan keselamatan dan kepercayaan pelanggan mereka,” kata Sundramoorthy.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong.

Awal hari ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran menjelaskan melalui RUU itu, pihak bank tidak boleh mengelak daripada bertanggungjawab sekiranya didapati menjadi punca kepada kes penipuan dalam talian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), T.Saravanan berkata Bank Negara perlu menjadi peneraju kepada RUU itu.

Katanya, bank-bank lain mesti diwajibkan untuk mengikutinya dalam menangani aduan yang dikemukakan oleh pelanggan bagi memastikan tiada kes yang akan terlepas pandang.

“Semuanya mesti dibawa kepada pasukan petugas yang terdiri daripada pihak berkepentingan bebas, terutamanya Bank Negara, Kementerian Kewangan, polis, pergerakan pengguna atau persatuan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, Fomca menerima banyak aduan daripada mangsa penipuan yang mendakwa agensi perbankan tidak membantu.

Katanya, Singapura sedang mengambil langkah untuk melaksanakan undang-undang baharu berhubung perkara itu dan bagi memastikan bank-bank akan lebih bertanggungjawab, Malaysia juga perlu mengambil langkah serupa.

Dalam perkembangan sama, Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata RUU itu boleh membantu menangani kes penipuan melalui kerjasama antara bank-bank dan pihak berkuasa.

Katanya, pada masa sama pelanggan juga perlu memainkan peranan mengelak daripada menjadi mangsa kerana terdapat kes penipuan berulang membabitkan individu yang sama.

Jelasnya, kes masih berlaku walaupun pihaknya sendiri menerima ratusan panggilan telefon daripada mangsa penipuan dalam talian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini