comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] RUU pindaan AUKU dibentangkan di Parlimen tahun ini

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang berhubung cadangan pindaan dua peruntukan dibawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dijangka dibentangkan pada persidangan Parlimen tahun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pindaan akta tersebut akan melibatkan seksyen 15 dan 16 yang mana ia berkaitan dengan pelajar.

Katanya, setelah draf pindaan tersebut lengkap oleh pihaknya akan hantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diteliti lebih lanjut pada pertengahan Jun depan.

“Prosesnya ialah kita kena pastikan pindaan itu diluluskan dan dipersetujui (AGC), kemudian hantar ke Kabinet, perlu dapat input daripada kementerian-kementerian lain dan sebagainya.

“Jangkaan itu bergantung kepada akta-akta lain yang berderet menunggu, kita mungkin boleh baca bacaan pertama kalau mereka siap mungkin tahun ini juga.” katanya pada sidang media selepas sesi Town Hall AUKU 1971 di sini, tadi.

Mengulas berkenaan pindaan AUKU lagi, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, pindaan itu akan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pelajar.

“Dulu dia mulakan dengan boleh politik di luar, kemudian dapat kebebasan politik di dalam universiti, kemudian mereka nak buat aktiviti dia rasa tersekat kerana perlu dapat kelulusan daripada pihak universiti.”

“Jadi sekarang ini semua, kita akan bebas. Maknanya dari segi seseorang pelajar itu dia memang betul-betul bebas.” katanya

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamed Khaled berpendapat bahawa pindaan yang bakal dilaksanakan itu dapat membangunkan kematangan serta kedewasaan dalam diri para pelajar.

Ujarnya, proses memuktamadkan fasal-fasal yang melibatkan pelajar itu akan menambahkan lagi ruang dan kebebasan untuk mereka bergerak sepanjang bergelar seorang mahasiswa.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, sekiranya pindaan AUKU diluluskan, Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173) juga berkemungkinan akan dipinda walaupun UiTM tidak tertakluk kepada AUKU tetapi banyak fasal-fasal dalam Akta UiTM itu mirip dengan fasal-fasal di dalam AUKU.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini