Tumpuan :
Nasional

RUU tahanan di rumah akan perjelaskan di Parlimen Khamis ini – Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution

Oleh: Fareez Azman

KAJANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan beliau akan memberi penjelasan secara terperinci berhubung Rang Undang-Undang (RUU) baharu mengenai hukuman tahanan di rumah dalam pergulungan dasar kementerian itu di Parlimen, Khamis ini.

Ujarnya, meskipun RUU itu dijangka dibentangkan tahun hadapan, namun rakyat perlu diberi pencerahan mengenai program itu supaya ia jelas dan tidak seperti didakwa sesetengah pihak.

“Saya mengikuti sepenuhnya reaksi setelah tajuk itu dimasukkan dalam teks Belanjawan 2025 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia mengundang pelbagai pandangan.

“Saya meneliti satu persatu dan memilih sesi pergulungan peringkat dasar Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dijadualkan pada Khamis akan saya jelaskan secara terperinci.

“Apakah rasional program itu nak kami buat, apakah proses, apakah parameter dan berapa ramai patut kami pertimbangkan,”jelasnya.

Tambah Saifuddin, pihaknya bersama Jabatan Penjara telah menyiapkan semua data yang diperlukan sebelum sebarang keputusan dasar diluluskan Kabinet dan dibentangkan ke Parlimen.

“Saya percaya pada akhir memberi penjelasan itu ia mampu menjernihkan beberpa pandangan yang kadang-kadang yang saya tengok hanya tertumpu pada seorang individu sahaja.

“Itu yang saya rasa perlu diberikan pencerahan dan platform terbaik apabila KDN mendapat peluang menggulung peringkat dasar pada Khamis,”katanya lagi.

Mengulas lanjut ujar Saifuddin, ketika ini kira-kira 20,000 banduan telah dikenal pasti untuk dimasukkan ke dalam program terbabit menerusi proses penilaian yang ketat.

“Sudah ada, setakat ini lebih kurang 20,000, bukan jumlah itu sekaligus, tidak. Ia ada beberapa lagi kriteria, maknanya dia tak boleh melanggar displin sepanjang dia menerima hukuman.

“Untuk itu Jabatan Penjara dan KDN sudah siap dengan semua datanya, rasional, sebab itu berdasarkan perkara tersebut KDN mendapat lampu hijau daripada Kabinet secara dasar.

“Bila keputusam dasar telah diperolehi, berikutnya KDN akan lakukan banyak sesi libat urus dengan ramai pemegang taruh kemudian kita akan mengubal satu draf Rang Undang-Undang akta tahanan rumah,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Sesi Townhall Menteri Dalam Negeri bersama agensi dan pemegang taruh di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini