comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah Benarkan Rentas Negeri Bermula 1 Nov – Ketua Menteri

Kerajaan Sabah hari ini membenarkan aktiviti rentas negeri bermula 1 Nov depan meliputi lawatan sosial dan pelancongan, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Bagaimanapun, beliau berkata kebenaran rentas negeri itu diberikan secara bersyarat iaitu penduduk dewasa perlu lengkap dos vaksin COVID-19, perlu menjalani ujian saringan COVID-19 jenis RT-PCR atau RTK-Ag (swab/saliva) tiga hari sebelum perjalanan.

Katanya, bagi remaja berumur 12 hingga 18 tahun perlu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin tersebut manakala kanak-kanak berusia bawah 12 tahun wajib ditemani ibu bapa yang telah lengkap divaksin.

“Kerajaan Negeri Sabah berpuas hati dengan laporan peratus vaksinasi lengkap negeri Sabah setakat 11 Okt 2021 oleh Jawatankuasa COVID-19 Immunisation Task Force (CITF) telah mencapai melebihi 70 peratus dan bersetuju memberikan kebenaran ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selaras dengan itu juga kerajaan negeri bersetuju supaya rentas daerah dibenarkan seluruh negeri bermula esok dengan bersyarat.

Katanya, syarat itu ialah penduduk dewasa perlu lengkap dos vaksin COVID-19; remaja berumur 12 hingga 18 tahun perlu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin tersebut; dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun wajib ditemani ibu bapa yang telah lengkap divaksin.– BERNAMA

Loading...
Terkini