comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah bentang belanjawan terbesar RM5.138 bilion tahun depan

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika membentangkan Belanjawan 2023 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. NSTP/Ihsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini membentangkan belanjawan lebihan berjumlah RM5.138 bilion untuk tahun depan, menjadikannya jumlah terbesar dalam sejarah belanjawan negeri Sabah, setakat ini.

Peruntukan dalam belanjawan bertemakan `Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera’ itu menunjukkan peningkatan RM542 juta berbanding RM4.596 bilion yang diperuntukkan dalam belanjawan negeri pada tahun ini.

Ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah petang ini, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata Sabah diunjur mengutip hasil berjumlah RM5.268 bilion tahun depan.

Katanya, berdasarkan unjuran jumlah kutipan hasil itu, kerajaan negeri diunjur mencatat lebihan hasil berjumlah RM130.47 juta pada tahun depan.

“Ini bermakna Belanjawan 2023 adalah satu Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) sebanyak RM130.47 juta dan belanjawan tertinggi dalam sejarah Belanjawan Negeri Sabah sejak merdeka.

“Semoga Belanjawan 2023 dapat memberikan manfaat dan kesenangan, juga memberi berkat kepada tampuk kepemimpinan saya untuk terus memajukan negeri ini, agar setiap lapisan rakyat dapat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, sebahagian besar belanjawan Sabah pada tahun depan diagihkan kepada Kementerian Kewangan negeri iaitu sebanyak RM2.16 bilion, diikuti Kementerian Kerja Raya negeri (RM1.16 bilion) dan Jabatan Ketua Menteri (RM634.41 juta).

Selebihnya diagihkan kepada Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri (RM501.54 juta), Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (RM212.63 juta), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (RM204.03 juta) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (RM175.61 juta).

Selain itu, Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan (RM167.75 juta), Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (RM157.58 juta), Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (RM134.59 juta), Kementerian Belia dan Sukan Sabah (RM97.50 juta) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (RM54.51 juta).

Turut diperuntukkan ialah Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM227.24 juta dan Perbelanjaan Yang Tidak Termasuk Dalam Kementerian-Kementerian sebanyak RM38.79 juta.

Sementara itu, Hajiji berkata, Sabah mencatat prestasi ekonomi yang baik pada tahun ini sejajar momentum pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang positif.

Katanya, dalam tempoh Januari hingga Ogos 2022, Sabah mencatatkan imbangan perdagangan positif sebanyak RM23.5 bilion berbanding RM13.3 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 77 peratus.

“Pencapaian ini terutama disokong peningkatan jumlah keseluruhan eksport negeri dalam tempoh Januari hingga Ogos 2022 sebanyak 54 peratus kepada RM50.4 bilion berbanding RM32.8 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun lalu yang disumbangkan eksport komoditi utama negeri khususnya petroleum dan minyak sawit mentah,” katanya.

Katanya, jumlah import Sabah turut direkodkan meningkat 35 peratus kepada RM26.5 bilion antara Januari hingga Ogos tahun ini berbanding RM19.5 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini