comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah hidupkan semula Lembaga Padi dan Beras untuk rakyat

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Lembaga Padi dan Beras Sabah yang sudah lama dimansuhkan akan dihidupkan semula dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan tahap sara diri beras.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usaha menghidupkan semula agensi itu dipersetujui Kabinet negeri sebagai sebahagian inisiatif meningkatkan pengeluaran makanan dan keterjaminan makanan negeri.

Beliau berkata, langkah itu penting berikutan Sabah ketika ini terpaksa mengimport kira-kira 70 peratus daripada keperluan beras rakyat negeri ini.

“Sabah perlu meningkatkan tahap sara diri makanan dan kita dapat melakukannya dengan menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah.

“Kabinet negeri akan mengemukakan cadangan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk kelulusan bagi mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah seperti termaktub dalam Seksyen 3, Enakmen Lembaga Hasil Pertanian 1981,” katanya menerusi kenyataan selepas mesyuarat pasca Kabinet bagi Jabatan Ketua Menteri Sabah, di Menara Kinabalu, di sini, semalam.

Berdasarkan laporan sebelum ini, tahap sara diri pengeluaran padi dan beras di Sabah hanya mencapai 23 peratus menyebabkan sebahagian besar keperluan beras negeri ini bergantung kepada bekalan import.

Sementara itu, Hajiji berkata, Kabinet negeri turut bersetuju untuk memberikan kebenaran khas kepada pelabur yang beroperasi di taman perindustrian di negeri ini bagi memasang fasiliti janakuasa elektrik untuk kegunaan mereka.

Katanya, Kabinet negeri juga memutuskan untuk membenarkan rumah kedai, bangunan dan premis kediaman memasang sistem tenaga solar tanpa mendapatkan kebenaran daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Pendekatan itu, katanya, dilaksanakan dalam usaha untuk mengurangkan beban permintaan tenaga yang berlaku di Sabah pada masa ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini