comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah jana hasil RM6.6b, pelaburan RM33.4b pada 2022

Foto NSTP – Tun Juhar Mahiruddin memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis santapan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Gabungan Cina Sabah di Port View Palace Hall Tanjung Lipat, Kota Kinabalu, hari ini. Turut kelihatan, Datuk Seri Hajiji Noor (enam dari kanan).

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berjaya menjana hasil RM6.6 bilion dan rekod pelaburan bernilai RM33.4 bilion pada tahun lalu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau yakin pencapaian itu mampu diatasi pada tahun mendatang jika rakyat dan kerajaan Sabah terus fokus kepada memenuhi agenda pembangunan.

Katanya, rekod pada tahun lalu itu membuktikan prestasi Sabah berada pada tahap terbaik sejak mencapai kemerdekaan.

“Ia juga hasil komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri supaya Sabah terus maju di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Kita tidak akan berputus asa, tetapi akan meneruskan momentum ini.

“Saya mahu rakyat negeri ini termasuk masyarakat Tionghua terus bersama kami untuk memajukan Sabah terus ke peringkat tertinggi,” katanya berucap sempena Majlis Santapan Tahun Baharu Cina 2023 di Dewan Hakka, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; isteri Ketua Menteri, Datin Seri Julia Salag serta dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Pada majlis dianjurkan bersama Kerajaan Sabah dan Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Hajiji turut melahirkan rasa gembira melihat keraian itu bukan saja dihadiri masyarakat Tionghua, malah rakyat pelbagai kaum serta agama di Sabah.

Terdahulu, Ketua Menteri menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pengerusi DAP Sabah yang juga Ahli DewanUndangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon di Sandakan.

Sementara itu, Hajiji menyatakan kerajaan negeri akan terus memastikan agenda pembangunan negeri dan kemajuan rakyat diberi tumpuan berterusan di Sabah pada tahun ini dan seterusnya.

Beliau juga melahirkan kesungguhan dan azam kerajaan negeri untuk terus memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi yang akan membawa kebaikan kepada negeri serta rakyat.

Loading...
Terkini