comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah kehilangan seorang pemimpin luar biasa – Hajiji

Foto: Arthur Joseph Kurup / Facebook

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan pemergian Tan Sri Joseph Kurup, 80, sebagai kehilangan besar bagi Kerajaan Negeri.

“Saya ingin merakamkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Joseph Kurup,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Hajiji, mendiang disifatkan sebagai seorang pemimpin yang luar biasa dan berpengalaman.

“Mengimbas kembali semasa saya bekerja bersama beliau sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah pada tahun 1994, saya teringat akan kepimpinan beliau yang luar biasa dan sumbangan besar yang telah diberikan kepada masyarakat, negeri dan negara,” katanya.

Pengasas PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.

Pemergian ahli politik veteran Kadazandusun Murut (KDM) itu disahkan kakitangan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Kurup yang juga anak mendiang.

Kurup, menubuhkan PBRS pada 1994 selepas meninggalkan Parti Bersatu Sabah (PBS) berikutan kejatuhan kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada masa itu.

PBRS antara parti serpihan PBS, selain Parti Demokratik Sabah (PDS) (sekarang Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu – UPKO) dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang kemudian menyertai Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan negeri bersama UMNO pada 1994.

Mendiang memimpin parti itu selama 28 tahun sebelum bersara dan menyerahkan jawatan Presiden PBRS kepada Arthur pada tahun lalu.

PBRS satu-satu parti tempatan Sabah yang masih kekal bersama BN sehingga ke hari ini dengan memiliki satu kerusi Parlimen, iaitu Pensiangan yang disandang Arthur.

Sebelum Arthur, kerusi Parlimen Pensiangan disandang mendiang sejak 2008 hingga 2018 dan pernah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri antara 2013 hingga 2018.

Selain itu, mendiang juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook bermula pada era kerajaan PBS pada 1985 hingga 2008, mendiang juga pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah (1986-1990).

Kurup juga pernah menyandang beberapa portfolio menteri Kabinet negeri sepanjang bersama PBS dari 1985 hingga 1994 dan seterusnya di bawah kerajaan BN antara 1994 hingga 2008.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini