comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah masih perlu kerjasama parti nasional, belum dapat seperti Sarawak

FOTO: Ihsan Penerangan PGRS

Oleh: Safwan Sawi

SIPITANG: Sabah belum dapat mencontohi Sarawak bagi membentuk kerjasama politik yang hanya membabitkan parti tempatan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah masih memerlukan kerjasama di antara parti tempatan melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan rakan parti nasional yang lain.

Gabungan kerjasama GRS ujarnya – Pakatan Harapan (PH) Plus yang membentuk kerajaan negeri ketika ini adalah susunan yang sudah sedia ada untuk Sabah dan ia akan dikekalkan pada PRN nanti.

“Dalam politik kita mesti kerjasama dengan rakan kita dan inilah kita dalam GRS sekarang, kita mesti satu hati. Kita juga mesti bekerjasama dengan parti nasional yang sudah ada di Sabah sekarang.

“Inilah ‘setup’ (persediaan) kita di Sabah, kita belum dapat macam Sarawak. Suka atau tidak, inilah keadaan kita di Sabah. Apa yang penting ialah kita kukuhkan perpaduan di kalangan kita dalam GRS dengan rakan PH dan lain-lain.

“Kalau kita bekerjasama, tiada sabotaj sana sini, tolong-menolong antara satu sama lain, saya yakin kita boleh menang dengan mudah pada PRN nanti,” katanya.

FOTO: Ihsan Penerangan PGRS

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata demikian dalam satu kenyataan selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat turut mengingatkan ahli parti itu, termasuk di Sindumin supaya memastikan Gagasan Rakyat terus diperkukuhkan, selain menjaga kerjasama dengan rakan dalam GRS dan parti nasional.

“Kuatkan perpaduan di antara kita, mantapkan juga kerjasama dengan rakan dalam GRS dan PH Plus. Kita perlu saling membantu antara satu sama lain untuk memastikan kemenangan di Sindumin dan semua kawasan lain pada PRN nanti,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini