comscore
Tumpuan :
Nasional

Sabah rugi besar dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan – Arthur

Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Presiden PBRS (Ahli Parlimen Pensiangan) yang juga mantan Timbalan Menteri Kerja Raya dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Sabah merupakan Wilayah yang rugi besar berikutan pengumuman Barisan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata Sabah hanya diberikan dua Menteri yang tidak setara jika dibandingkan dengan Menteri di Semenanjung (21 Menteri dan 1 Timbalan Perdana Menteri) mahupun jika dibandingkan dengan Wilayah Sarawak (1 Timbalan Perdana Menteri dan 5 Menteri).

“Untuk rekod, daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, 24 Ahli Parlimen telah menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan. Daripada jumlah berkenaan Barisan Nasional (BN) Sabah (7 Ahli Parlimen) merupakan penyumbang terbesar dalam komposisi tersebut,”

“Malang sekali, Sabah hanya diberikan dua jawatan kabinet dan tiada daripadanya dari BN Sabah.” katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diumumkan malam semalam.

“Tidak dinafikan Sabah memerlukan lebih banyak wakil di dalam Kabinet bagi membantu lebih banyak pembangunan di wilayah ini,” katanya.

“Saya berharap agar pelantikan Kabinet Kerajaan Perpaduan bukanlah suatu gambaran awal yang menyatakan kebajikan & pembangunan Wilayah ini akan terpinggir oleh Kerajaan baharu ini,” tambahnya.

Arthur yang juga bekas Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, pembatalan begitu banyak projek pembangunan infra rakyat terutamanya Projek Pan-Borneo Sabah ketika dipimpin Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018 masih segar dalam ingatan rakyat Sabah.

Begitu juga langkah-langkah penjimatan yang diambil dengan mengurang atau menghapuskan bantuan yang pada asasnya bertujuan untuk membantu rakyat.

Justeru, jelas Arthur lagi yang juga Ahli Parlimen Pensiangan dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berharap agar Kerajaan Perpaduan tidak mengulangi kesilapan lalu.

“Ini kerana Sabah memerlukan lebih banyak pembangunan, lebih banyak bantuan untuk rakyat dan lebih banyak wakil di dalam Kerajaan agar Wilayah Sabah boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama Semenanjung Malaysia,” katanya.

Loading...
Terkini