Tumpuan :
Nasional

Sabah sambut baik keputusan Mahkamah Tertinggi Perancis – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Foto Fail NSTP

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Tertinggi Perancis yang menolak sepenuhnya cabaran yang difailkan individu mendakwa pewaris Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud terhadap negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor turut mengalu-alukan berita gembira yang dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said melalui akaun media sosialnya.

Menerusi kenyataan, Hajiji turut mengulangi pendirian tegas Kerajaan Negeri Sabah yang tidak mengiktiraf sebarang tuntutan terhadap negeri itu yang dilakukan mana-mana pihak luar.

“Kerajaan negeri sekali lagi menegaskan bahawa kita tidak mengiktiraf sebarang tuntutan terhadap Sabah kerana kita adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas usaha untuk membatalkan anugerah akhir oleh penimbang tara Sepanyol.

Azalina dalam hantaran beliau menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan bersejarah dan signifikan buat negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini