comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sabah tetap pertahankan kedaulatan Malaysia – Hajiji

FOTO: JKM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Sabah tidak akan berganjak walau seinci, malah akan tetap mempertahankan kedaulatan Malaysia untuk selamanya.

Tegas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, walaupun rakyat dan negeri Sabah pernah diuji dengan pelbagai ancaman dan situasi, namun semua itu tidak akan melemahkan semangat dan iltizam rakyatnya untuk terus mempertahankan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia.

“Wajar saya sebutkan di sini, sempena Hari Malaysia yang sangat signifikan ini, bahawa Sabah akan terus mempertahankan kedaulatan negeri ini untuk selama-lamanya.

“Keputusan muktamad Mahkamah Agung di Belanda, yang menolak rayuan yang difailkan oleh pihak asing baru-baru ini, merupakan berita baik untuk Sabah dan rakyatnya.

“Keputusan muktamad itu sangat penting kepada Sabah kerana ia akhirnya menamatkan tuntutan yang tidak pernah diiktiraf oleh rakyat dan Kerajaan. Penolakan rayuan itu, secara langsung mengukuhkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia yang tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi diganggu gugat oleh mana-mana pihak,”katanya.

Datuk Seri Hajiji berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Padang Merdeka di sini, hari ini.

Datuk Seri Hajiji turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam mempertahankan hak  dan kedaulatan Sabah di mahkamah luar negara.

Beliau berkata, di Padang Merdeka itu  pada 16 September 1963, iaitu lebih enam dekad lalu, Sabah telah memeterai perjanjian penuh bersejarah, membentuk negara Malaysia.

“Malam ini, kita bersatu hati dalam mengeratkan lagi muafakat dan kata sepakat yang dimeterai 61 tahun lalu oleh pemimpin dan pejuang kemerdekaan tanah air terdahulu. Pada malam ini, kita meraikan kembali detik bersejarah itu, penyatuan dua wilayah di kepulauan Borneo dengan Semenanjung Tanah Melayu, bagi membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan merdeka.

“Dalam konteks negeri Sabah, keputusan yang dibuat oleh pimpinan terdahulu di negeri ini, antaranya seperti Tun Mustapha bin Datu Harun, Tun Mohd Fuad Stephens, Datuk GS Sundang dan Datuk Khoo Siak Chew, bukan sahaja suatu keputusan yang bijak dan tepat, tetapi berani, berprinsip dan berjiwa besar.

“Dengan keputusan itu, Sabah, daripada sebuah negeri yang mundur kesan daripada penjajahan, mula memasuki era baharu, mengorak langkah menuju perubahan dan kemajuan dalam semua aspek kehidupan,” katanya.

Datuk Seri Hajiji berkata, pembangunan dan kemajuan negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat adalah dua agenda penting yang menjadi keutamaan kerajaan.

Walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengisi kemerdekaan dan mempertingkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, beliau berkata sejak lebih enam dekad lalu, Sabah telah mengalami perubahan yang cukup besar dalam pelbagai sektor pembangunan.

“Penyediaan dan menambah-baik kemudahan asas, menjadi agenda terpenting saat ini dan kita sedang melaksanakannya. Sungguh pun program berbentuk infra ini memakan sedikit masa, tetapi kita tetap melaksanakannya dengan matlamat tiada kawasan yang tercicir, dan tiada rakyat yang terpinggir, termasuklah pelaksanaan program yang berkaitan dengan pembasmian kemiskinan tegar,” katanya.

Beliau berkata, sejak menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia, perubahan demi perubahan terus berlaku meliputi pelbagai sektor ekonomi dan pembangunan; khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, sosio-ekonomi, infrastruktur dan tidak kurang pentingnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Dalam pada itu, beliau berkata Sabah sentiasa berusaha memupuk perpaduan melalui nilai budaya dan kaum, dan menjadikan itu sebagai imej Sabah yang harmoni, bertoleransi dan saling hormat menghormati.

“Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk yang menjadi kebanggaan kita bersama sejak sekian lama. Fenomena kepelbagaian ini lebih terasa dan lebih menyerlah dalam konteks Sabah dan Sarawak,” tambahnya.

Loading...
Terkini