comscore
Tumpuan :
Nasional

Saifuddin arah PDRM tingkat keselamatan susulan serangan terhadap pemain bola sepak

KUALA LUMPUR: Polis diarah untuk meningkatkan tahap keselamatan susulan beberapa kes serangan terhadap pemain bola sepak negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata beliau sudahpun mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Tan Sri Razarudin Husain mengenai perkara berkaitan.

“Kebelakangan ini berlaku serangan terhadap pemain bola sepak negara, saya juga meminta Ketua Polis Negara mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin.

“Saya turut memberi penerangan terkini berkaitan isu itu dalam Mesyuarat Kabinet pagi tadi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kementerian Dalam Negeri dan wakil industri dalam pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di sini, hari ini.

Terdahulu, bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan, Faisal Halim mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badannya selepas diserang seorang individu tidak dikenali dengan menggunakan bahan dipercayai asid.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pusat membeli belah terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang Ahad lalu.

Sementara itu, pada Khamis lalu, pemain kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu, Terengganu.

Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain tersebut mengalami kecederaan.

Difahamkan, suspek melarikan telefon bimbit dan dompet pemain tersebut sebelum melarikan diri.

Semalam, media melaporkan cermin belakang kereta Safiq dipecah oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Jalan Sri Gelam, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 10.05 malam itu, dikongsikan oleh Safiq, 36, menerusi laman media sosial Instagram miliknya sebelum tular di media sosial.

Dalam muat naik itu, Safiq memaklumkan beliau membuat laporan polis selepas risau dengan keselamatan dirinya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini