comscore
Tumpuan :
Nasional

Saifuddin minta PN nyatakan pendirian tolak usul kenaikan gaji penjawat awam

Oleh: Fahmi Tajuddin

HULU SELANGOR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta Ahli Parlimen Machang, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk menyatakan pendirian menolak cadangan kenaikan gaji penjawat awam yang akan diusulkan dalam Belanjawan 2025 kelak.

Jelas Saifuddin, mana-mana pemimpin daripada blok pembangkang itu perlu menyatakan  pendirian sedemikian, sebelum ia diluluskan menerusi dokumen tahunan berkenaan.

“Cuma saya nak sentuh bila saya dengar ucapan Ahli Parlimen Machang, Wan Fayhsal ketika berkempen, dia kata Perdana Menteri boleh umum, tapi boleh buat atau tidak bergantung kepada bajet pada hujung tahun.

“Jadi saya nak tanya kepada Wan Fayhsal sila nyatakan tidak setuju dengan pengumuman kenaikan gaji anggota perkhidmatan awam sekarang,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Kubu Bharu pada Jumaat.

Terdahulu, Wan Fayhsal dalam ceramah perdana di Batang Kali sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu mempersoalkan kebolehan kerajaan untuk meluluskan Belanjawan 2025 yang bakal terkandung usul kenaikan gaji penjawat awam.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan lebih 13 peratus membabitkan gaji penjawat awam mulai 1 Disember depan.

Anwar dalam pengumuman tersebut turut memaklumkan bahawa kenaikan gaji kali ini sekaligus mencatatkan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini