comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Saifuddin, Zambry, Tengku Zafrul, Mohd Na’im angkat sumpah Senator

Dari kiri, Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’Im Mokhtar, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bergambar selepas Upacara Mengangkat Sumpah bagi Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pagi tadi. – FOTO: Ihsan Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR: Empat daripada 28 Jemaah Menteri yang akan menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh sepenggal berkuat kuasa hari ini.

Upacara mengangkat sumpah jawatan berkenaan berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim di Bangunan Parlimen, pada 8.30 pagi tadi.

Mereka yang mengangkat sumpah jawatan itu ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan menerajui Kementerian Dalam Negeri dan bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Turut mengangkat sumpah jawatan senator ialah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang memegang jawatan Menteri Luar dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang dilantik sebagai Menteri Agama.

Saifuddin Nasution, Zambry dan Mohd Na’im ialah lantikan baharu Ahli Dewan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah manakala Tengku Zafrul merupakan lantikan semula setelah diperkenan Seri Paduka.

Sementara itu, Rais ketika berucap pada upacara berkenaan berkata mengikut syarat di bawah Perkara 43 (2)(b) Perlembagaan Persekutuan, untuk menjadi menteri, seseorang itu hendaklah menjadi Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara.

“Satu-satunya hal yang baik bagi kita peringati ialah bahawa senator yang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri adalah juga juara terbaik bagi membela dan menegapkan institusi senat sebagai badan legislatif tertinggi negara kita,” katanya sambil mengalu-alukan pelantikan mereka sebagai Ahli Dewan Negara.

Rais juga menyeru semua senator agar meneliti kembali senarai tugas kolektif untuk Indeks Capaian Utama masing-masing mulai 2023.

“Mari kita perkasakan kembali Reformasi Institusi Parlimen yang dicadangkan dan kita semarakkan agenda pembaharuan ini untuk melunaskan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita,” katanya.

Terdahulu, Rais merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.

“Semoga Malaysia akan terus dipacu kecemerlangannya di bawah pentadbiran Yang Berhormat Datuk Seri (Anwar),” katanya.

Rais juga menyampaikan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah menerajui negara sebagai Perdana Menteri ke-9.

Semalam, Anwar mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 Jemaah Menteri yang akan menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan. – BERNAMA

Loading...
Terkini