IPOH: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa pemandu Perodua Ativa mengangkat Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, dalam keadaan marah selepas melanggar pelajar sekolah berkenaan, Disember tahun lalu.
Saksi pendakwaan ke-11 iaitu seorang remaja lelaki berkata, ketika kejadian dia berada di bahu jalan sekitar lima meter dari lokasi perlanggaran terbabit.
Selepas kejadian perlanggaran itu berlaku, beliau berkata, seorang pemandu lelaki turun dari Ativa dan mengangkat Zaharif ke tepi bahu jalan berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati.
“Saya melihat pemandu kereta Ativa itu seperti dalam keadaan marah melalui tindak tanduknya dan pergerakan tangannya selepas perlanggaran berlaku.
“Namun, saya tidak dapat mendengar apa-apa yang dikatakan oleh pemandu terbabit.
“Sepanjang kejadian, saya kekal berada di bahu jalan berdekatan simpang tiga SMK Jati. Saya hanya bergerak ke bahu jalan tempat Zaharif diangkat setelah pemandu kereta Ativa beredar dari tempat kejadian,” katanya ketika membaca pernyataan bertulis di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.
Terdahulu, saksi itu memberitahu, sebelum perlanggaran itu berlaku, dia melihat Zaharif memperlahankan motosikal seperti mahu membelok ke kanan di persimpangan Jalan Taman Jati 1 – Jalan Pekeliling Meru Indah, berdekatan tempat saksi berada di bahu jalan.
Beliau berkata, dia tidak perasan Zaharif ada memberikan lampu isyarat.
“Saya nampak kedudukan motosikal Zaharif berada dekat dengan garis putih pembahagi jalan, tetapi masih belum masuk ke arah jalan bertentangan manakala pemegang motosikal Zaharif sudah bergerak ke arah kanan.
“Saya melihat kereta Ativa itu melanggar bahagian lampu belakang motosikal Zaharif dengan bumper bahagian tengah kereta.
“Zaharif jatuh dari motosikalnya dan motosikal terbabit terseret ke arah hadapan kereta Ativa. Ativa itu kemudiannya menggilis badan Zaharif,” katanya.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwaan Raya Afzainizam Abdul Aziz, saksi bagaimanapun berkata dia tidak dapat membuat mengecam wajah pemandu Ativa dan hanya mengesahkan pemandu adalah lelaki.
Selain itu, saksi kanak-kanak itu turut memaklumkan bahawa ketika kejadian, dia tidak tahu lelaki terbabit adalah pegawai polis dan hanya tahu mengenai perkara itu sehari selepas kejadian apabila diberitahu oleh seorang rakannya.
Afzainizam turut meminta saksi menjelaskan keadaan Zaharif sebelum perlanggaran terbabit berlaku.
Afzainizam: Kamu kata nampak Zaharif perlahankan motosikal seperti hendak belok ke kanan. Semasa dia perlahan motosikal, bagaimana keadaan Zaharif?
Saksi: Saya nampak Zaharif tidak mampu kawal motosikalnya.
Afzainizam: Apa maksud kamu?
Saksi: Saya nampak gaya Zaharif seperti ingin ke kanan
Afzainizam: Adakah semasa dia perlahankan motosikal, dia jatuh?
Saksi: Tidak
Afzainizam: Berapa apa jarak antara Ativa dengan motor (semasa kejar-mengejar), sebelum kedua-dua kenderan itu berlanggar?
Saksi: Kurang daripada satu meter
Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Disember 2023.
Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Prosiding perbicaraan sudah masuk hari ketujuh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.