comscore
Tumpuan :
Nasional

Saksi yang tampil beri keterangan akan dilindungi daripada sebarang ancaman

Muhamad Zaki berucap pada Majlis Perasmian Seminar Program Perlindungan Saksi di Hotel The Grand Renai di sini, hari ini. -Foto: NSTP

KOTA BHARU: Semua saksi kes yang tampil memberi keterangan kepada pihak berkuasa atau keselamatan, termasuk kes jenayah, akan dilindungi daripada sebarang ancaman mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696).

Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) Khairul Anwar Zakaria @ Abdul Hamid berkata, saksi yang tampil membantu sesuatu kes diberi perlindungan sewajarnya.

Katanya, BPJPM akan menangani gejala ugutan dan ancaman kepada saksi penting dalam sesuatu kes jenayah berat, terutamanya jenayah terancang dan sindiket serta membabitkan kepentingan awam.

“Akta 696 yang akan memberikan perlindungan dan bantuan secara holistik dan munasabah kepada saksi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar Program Perlindungan Saksi di Hotel The Grand Renai di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Seminar disertai 210 peserta terdiri daripada pegawai Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi keselamatan lain.

Mengulas lanjut, Khairul Anwar berkata, Akta 696 bertujuan melindungi keselamatan dan kepentingan saksi yang memberi keterangan termasuk kerahsiaan identiti, perlindungan keselamatan dan larangan pendedahan maklumat.

“Saksi yang tampil akan dirahsiakan identiti supaya mereka tidak berasa takut dan terancam. Perlindungan dan bantuan tidak terhad kepada saksi sahaja, malah meliputi keluarga dan sesiapa juga yang berkemungkinan terjejas serta terancam susulan memberi maklumat atau keterangan terhadap pihak penguatkuasaan dan pendakwaan.

“Saksi adalah satu aspek yang kritikal dalam memastikan keadilan dan ketenteraman awam di negara ini.

“Selain itu, saksi juga memainkan peranan yang sangat penting dalam proses keadilan dan tanggungjawab kita untuk memastikan mereka dilindungi daripada sebarang ancaman atau gangguan yang mungkin akan timbul,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini