comscore
Tumpuan :
Nasional

Salah guna gambar Agong dalam kempen PRK, SPR wajar ambil tindakan

Fat Full ketika sidang media di Kuala Kubu Bharu. – Foto NSTP

HULU SELANGOR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyalah-guna gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai pelekat dan poster kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu petang semalam.

Ketua Sayap Bersekutu BERSATU, Dr Chong Fat Full, berkata beliau diberitahu pelakunya sudah ditahan pihak berkuasa, tetapi perbuatan tidak bertanggungjawab itu jelas menyalahi peraturan pilihan raya.

“Kami berharap SPR mengambil tindakan sewajarnya kerana perkara itu jelas menyangkal peraturan pilihan raya. Dengan membawa gambar seri paduka, ia memberi gambaran Yang Di-Pertuan Agong menyokong calon Pakatan Harapan (PH).

“Ia satu kesalahan yang sangat besar mengikut peraturan pilihan raya.

“Kami berharap semua pihak yang bertanding sama ada bebas atau mewakili parti, bertandinglah secara bermoral dan sepatutnya semua pihak menghormati Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kira-kira jam 5.40 petang semalam, sebuah kenderaan utiliti sukan dipasang dengan poster Sultan Ibrahim dan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergerak sekitar pekan Kuala Kubu Bharu dengan dihiasi bendera Johor, bendera PH dan Jalur Gemilang.

Menurut Fat Full, tidak menjadi masalah jika menggunakan gambar Pengerusi PH kerana beliau memang ahli politik.

“Tetapi apabila mereka menyalahgunakan gambar Yang Di-Pertuan Agong, itu tidak wajar kerana tuanku mempunyai aura dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan politik.

“Perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku untuk mengaitkan tuanku dengan parti politik dan kalau mahu berkempen, kempen dengan cara baik, jangan memperalat seri paduka.

“Kita sudah membuat laporan polis semalam dan berharap polis dan SPR bertindak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini