comscore
Tumpuan :
Nasional

Salah guna pili bomba: Kontraktor dikompaun RM100

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan JBPM Kelantan telah mengeluarkan kompaun ekoran siasatan yang dilakukan berkaitan isu penyalahgunaan pili bomba yang didakwa dilakukan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang.

JBPM menerusi satu kenyataan hari ini berkata, tindakan mengkompaun pelaku dibuat berdasarkan Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) iaitu menyalahgunakan pili bomba.

“Status bagi kes ini ialah selesai diluar mahkamah, di mana pihak pelaku iaitu kontraktor yang terlibat, Tuan Salehudin bin Tuan Mat, telah mengaku salah dan membuat bayaran kompaun sebanyak RM100 pada 8 Mei 2023.

“Mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) sesiapa yang menutup, mengepung, atau menyembunyikan mana-mana pili bomba hingga menjadikan tempatnya sukar dipastikan, atau mengganggu mana-mana pili bomba, atau menggunakan pili bomba selain tujuan menentang kebakaran, adalah melakukan suatu kesalahan,” katanya.

Tegasnya, Seksyen 23 (1) Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) juga menerangkan notis bagi kerja yang menjejaskan pili bomba.

“Tiada seorang pun selain pihak berkuasa air boleh melakukan apa-apa kerja yang menjejaskan pili bomba atau aliran air kepadanya melainkan telah memberi notis bertulis berkaitan kerja yang akan dilakukan kepada Pengarah Negeri sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum kerja dimulakan.

“Dalam keadaan kecemasan, kerja-kerja boleh dilaksanakan terlebih dahulu dan notis hendaklah dikemukakan dengan kadar segera kepada Pengarah Negeri,” katanya.

“Berdasarkan Seksyen 24 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) iaitu Kewajipan Pihak Berkuasa Air memberitahu Pengarah Negeri tentang apa-apa tindakan yang menjejaskan aliran air ke pili bomba di mana adalah menjadi kewajipan pihak berkuasa air itu memberitahu Pengarah Negeri yang berkenaan secara bertulis mengenai keputusan tersebut dengan seberapa segera selepas keputusan itu dibuat,” jelasnya.

JBPM berkata penyalahgunaan pili bomba boleh mengakibatkan kekurangan isipadu dan tekanan air selain menjejaskan operasi pemadaman sekiranya berlaku kebakaran.

Justeru, JBPM menasihatkan mana-mana pihak supaya mengikut saluran yang betul untuk memohon bantuan bekalan air dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan air dari pili bomba sebagai jalan penyelesaian kepada kekurangan air di sesuatu kawasan.

Loading...
Terkini