Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Ibarat menangguk di air yang keruh, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan beberapa trend menggunakan elemen simpati dalam pergolakan di Palestin untuk melakukan kutipan derma secara tidak sah.
Biarpun tiada laporan yang dibuat setakat ini, PDRM mengingatkan orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang bentuk bantuan atau derma, untuk menyemak kesahihan wakil yang menguruskan sumbangan serta mengambil langkah teliti bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Banyak desas-desus daripada media sosial dan saya rasa pertikaian itu adalah sesuatu yang benar-benar berlaku, banyak sangat seolah-olah cendawan tumbuh dan kita tidak menolak kemungkinan banyak untuk tujuan penipuan dan sebagainya.”
“Kita tidak menghalang orang daripada menderma tetapi biarlah disalukan kepada badan-badan yang berdaftar, bukannya di media sosial yang terus masuk ke akaun-akaun tertentu, kita ingat derma kita RM 100 itu kecil, tapi perlu diingat impaknya itu sampai puluhan ribu, kadang-kadang ratusan ribu,” kongsi Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam sidang media di ibu kota, petang tadi.
Ujarnya sebagai langkah kawalan, beliau menyarankan kawalan selia oleh agensi kerajaan tertentu perlu dibuat secara lebih menyeluruh dan lebih teliti agar kutipan derma ini dapat disalurkan kepada penerima yang sepatutnya.