comscore
Tumpuan :
Nasional

Saman kenderaan diletakkan depan rumah, MBPG bertindak berdasarkan aduan 

PASIR GUDANG: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) memaklumkan memo dan notis pemberitahuan berhubung isu meletakkan kenderaan di luar pagar rumah, untuk tindakan penguatkuasaan hanya berdasarkan aduan diterima PBT itu.

Menurut laman sosial Facebook MBPG, ini adalah kerana setiap aduan yang diterima perlu diberi maklum balas dan diambil tindakan selanjutnya.

“Untuk makluman pihak tuan/puan, rekod bagi aduan kacau ganggu kenderaan (kenderaan menghalang, kenderaan terbiar/buruk, kenderaan yang diletakkan di simpang jalan/laluan utama dan lain-lain) yang diterima oleh pihak MBPG pada tahun lalu ialah 242 aduan.

“Manakala pada tahun ini sehingga September ialah 349 aduan berkaitan kacau ganggu kenderaan.

“Pihak MBPG hanya akan mengambil tindakan sekiranya menerima aduan berkaitan. Antaranya seperti meletak kenderaan di luar pagar yang menyebabkan halangan dan kacauganggu di kawasan/tempat awam,” menurut kenyataan itu.

Tular satu notis pemberitahuan dari Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah (luar pagar) yang boleh menyebabkan halangan ditempat awam.

Notis terbabit mendapat pelbagai reaksi penduduk Pasir Gudang, ada pihak yang menyokong.

Namun dalam masa sama terbeban dengan penguatkuasaan terbabit.

Dalam notis pemberitahuan itu, tindakan boleh diambil atas kesalahan dibawah Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 332), Seksyen 46 (1) (9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Undang-undang kecil 3 (n) Undang-undang kecil vandalisme (Majlis Bandaraya Pasir Gudang) 2011 dan Perintah 17(1) dan 17(2) Perintah Lalulintas Jalan (peruntukan mengenai tempat letak kereta) Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang 2001.

Notis yang dikeluarkan di laman sosial Facebook MBPG di bawah arahan Datuk Bandar MBPG juga menyatakan tindakan mengkompaun kesalahan serta-merta boleh dikenakan di bawah Undang-undang kecil mengkompaun kesalahan Akta Kerajaan Tempatan (MPPG) 2010 dengan kadar maksimum kompaun RM500.

Dan di bawah Undang-undang kecil jalan, parit dan bangunan (mengkompaun kesalahan-kesalahan MPPG) 2011 dengan kadar maksimum kompaun RM2,000.

Ralat: Buletin TV3 memohon maaf kerana terkhilaf menyiarkan memo dalaman oleh MBPG berhubung isu berkenaan dalam laporan awal kami sebelum ini. Memo berkenaan digugurkan daripada laporan berkenaan sebaik saja kami dimaklumkan mengenai kekhilafan itu. Kami turut memuatkan penjelasan MBPG berhubung isu berkenaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini