Oleh: Vinsla Santiran
SHAH ALAM: Sambutan Hari Burung Enggang Kebangsaan adalah selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022 hingga 2030 dalam usaha melahirkan sebuah negara yang hidup harmoni dengan alam semula jadi menjelang 2050.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Malaysia tekad memastikan biodiversiti berkembang seiring dengan pembangunan ekonomi dan sosial, sekaligus keseimbangan alam sekitar terus dipelihara.
Beliau berkata, alam sekitar perlu dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang.
“Kita perlu memastikan anak-anak dan cucu kita tahu rupa burung enggang di alam ini dan bukan sahaja di zoo atau hanya melalui gambar dalam buku atau di internet,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Hari Burung Enggang di Elmina Sales Gallery di sini hari ini.
Tambahnya, pemuliharaan biodiversiti dan pemeliharaan warisan semula jadi bagi generasi akan datang juga merupakan komitmen negara dalam perjanjian antarabangsa Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD).
“Di forum berkenaan, kami meneroka perkara yang penting di mana perniagaan boleh memainkan peranan dalam memajukan rangka kerja Kunming-Montreal Biodiversiti Global,” katanya.
Beliau turut berkongsi pendekatan Malaysia untuk mengintegrasikan biodiversiti dalam sektor korporat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.