comscore
Tumpuan :
Nasional

Sambutan Minggu Perpaduan perkasa perpaduan, keharmonian masyarakat

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan adalah peluang berharga bagi masyarakat majmuk di negara ini untuk bersama-sama memperkasa perpaduan dan keharmonian.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha itu seterusnya mengukuhkan tapak integrasi nasional berteraskan perlembagaan dan Rukun Negara.

Menurut KPN, sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan akan membuka tirai mulai esok sehingga Ahad ini di pusat beli belah Angsana Mall, Johor Bahru.

Ini adalah sambutan kali kedua setelah sambutan kali pertama diadakan di Kuching pada tahun lalu.

Majlis perasmiannya akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu, jam 8 malam.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan mampu menjadi wadah perpaduan dan tapak integrasi yang berlandaskan pendekatan terpilih serta berkesan sehingga ke peringkat akar umbi.

Ia berupaya memperkukuh sekali gus mengeratkan hubungan masyarakat dalam usaha memelihara ekosistem perpaduan.

Mengulas lanjut, KPN menjelaskan sambutan berlangsung selama empat hari bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan menyasarkan kehadiran pengunjung seramai kira-kira 200,000 orang.

Pelbagai program dan pengisian ditawarkan antaranya pameran Rumah KAMI merangkumi 22 rumah etnik, pameran Perkampungan Orang Asli suku kaum Seletar, Mahmeri dan Semai termasuk pengurangan kadar kompaun saman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini