comscore
Tumpuan :
Nasional

Sambutan Tahun Baharu suram, 2 rumah musnah terbakar

 

MUAR: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu dugaan terpaksa dilalui dua keluarga ketika sedang menyambut Tahun Baharu Cina apabila dua buah rumah musnah dalam kebakaran di pekan Bukit Kepong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 4.45 petang, sebuah rumah terbakar 95 peratus manakala satu lagi, terbakar 60 peratus, namun belum dapat dipastikan punca sebenar kebakaran itu berlaku.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Mohd Fadli Ismail, berkata maklumat awal diperolehi mendapati api bermula dari rumah pertama sebelum merebak ke rumah bersebelahan.

Beliau berkata, sewaktu kejadian, tiada penghuni di rumah pertama kerana mereka dipercayai keluar manakala rumah kedua, terdapat dua warga emas.

“Bagaimanapun, kedua-dua warga emas itu berjaya keluar menyelamatkan diri dengan bantuan ahli keluarga yang tinggal berdekatan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Mohd Fadli berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh menerima panggilan kecemasan pada jam 4.53 petang.

Katanya, seramai 14 anggota dari BBP Pagoh dan Labis serta Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati api sudah marak membakar rumah pertama dan mula merebak ke rumah kedua.

“Kami berdepan kesukaran untuk tiba ke lokasi kerana jaraknya jauh iaitu lebih 50 kilometer dari BBP Pagoh.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.” katanya memaklumkan api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 6.58 petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini